KUALA LUMPUR, 30 Okt 2025 – Majlis Menteri Besar Kerajaan Empat Negeri (SG4) menegaskan bahawa sumber mineral nadir bumi (REE) di dalam sempadan negeri masing-masing adalah hak mutlak negeri sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Majlis itu, yang dianggotai Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi bersama rakan sejawat di Kedah, Kelantan dan Perlis, menegaskan pendirian tersebut selepas beberapa kenyataan persekutuan yang dilihat cuba menyatukan kawalan terhadap sektor REE di bawah pentadbiran pusat.
“REE adalah hak negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Jadual Kesembilan. Negeri-negeri SG4 akan memastikan hasil bumi ini diurus secara bertanggungjawab dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” menurut kenyataan bersama itu.
Empat negeri berkenaan yang menguasai kira-kira 70 peratus sumber REE negara turut menegaskan bahawa sebarang dasar nasional mesti berasaskan rundingan rasmi dan bukan arahan sehala dari kerajaan pusat.
SG4 kini sedang melaksanakan kajian dan pelan strategik masing-masing meliputi aspek eksplorasi, perlombongan lestari, kawalan alam sekitar serta pembangunan modal insan tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, dasar semasa SG4 menetapkan bahawa aktiviti pemprosesan dan pembangunan industri REE mesti dilaksanakan dalam negeri pemilik sumber, supaya limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dinikmati rakyat setempat.
“Kami tidak mahu pengalaman pahit isu royalti minyak berulang dalam konteks REE. Setiap perancangan nasional mesti berasaskan semangat federalisme yang adil dan saling menghormati.”
Gabungan itu turut menyeru supaya model baharu pembahagian hasil dirangka – bukan sekadar berbentuk royalti – tetapi turut melibatkan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi kepada negeri sumber.
Dalam masa sama, SG4 menyokong aspirasi kerajaan persekutuan membangunkan ekosistem industri REE negara secara menyeluruh dari huluan hingga hiliran, namun menegaskan bahawa rundingan mesti melibatkan wakil negeri dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.
“Hasil bumi ini bukan hanya soal ekonomi, tetapi soal kedaulatan negeri dan masa depan rakyat,” tegas kenyataan itu.
- 1Media.my
........Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment