NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Tanah Felda: Terengganu Tuntut Hasil 40 Tahun, Tarikh Akhir 29 November Ditetapkan

KUALA TERENGGANU, 23 Okt — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa telah mengusahakan tanah milik kerajaan negeri Terengganu seluas 14,791 hektar selama lebih empat dekad tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan yang dipersetujui.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata tanah tersebut dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit sejak tahun 1985 dan kini diusahakan oleh FGV Holdings Berhad (FGV), namun kerajaan negeri tidak menerima sebarang pulangan hasil sepanjang tempoh berkenaan.

“Dalam tempoh lebih 40 tahun itu, Felda telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah tersebut, tetapi kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak menerima hak yang sewajarnya seperti bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari 21 Tanah Rancangan Felda seluruh negeri di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, semalam.

Dr. Azman berkata, kerajaan negeri telah menetapkan 29 November ini sebagai tarikh akhir bagi Felda mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap isu tersebut, selepas tempoh 40 hari diberikan untuk meneliti tuntutan dan memuktamadkan rundingan.

“Kita telah berusaha agak lama, tetapi sikap tidak serius dan berdolak-dalik pihak Felda menyebabkan isu ini berlarutan. Kita terpaksa beri kata dua kerana tidak boleh lagi memperjudikan hak negeri untuk tempoh yang lebih lama,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri sebelum ini telah menawarkan perkongsian sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kasar kepada Felda sebagai penyelesaian bersama, namun masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada pihak berkenaan.

“Sekiranya tiada sebarang cadangan penyelesaian dikemukakan sebelum tarikh tersebut, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang mengikut peruntukan perundangan yang sedia ada,” tegasnya.

Selain isu tanah ladang FGV, sesi libat urus tersebut turut membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan tanah rancangan Felda, termasuk tapak perumahan generasi kedua serta keperluan menaik taraf kemudahan asas di kawasan penempatan.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo