NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ucapan sombong, agama dijadikan bahan politik



KUALA LUMPUR – Mufti Perlis menegur presiden sebuah parti yang mengaitkan malaikat dalam ucapannya baru-baru ini.

Justeru Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap individu berkenaan membetulkan kesalahan itu apabila ia kini menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam.

“Beberapa pihak bertanya saya tentang ucapan seorang ahli politik yang menyatakan “jika Allah Ta’ala memerintahkan malaikat untuk menjadi Presiden …. (nama partinya), malaikat pun lari malam”.

“Saya rasa beliau terlepas cakap dan saya harap beliau tidak bermaksud seperti yang diucapkan. Pun begitu, saya perlu mengulas ucapan itu supaya tidak ulangi oleh beliau atau pihak yang lain,” katanya dalam media sosial hari ini.

Menurut Mohd Asri, ia satu anggapan yang sangat membimbangkan terhadap pegangan pengucapnya berkaitan dengan hakikat sebenar malaikat yang digambarkan oleh al-Quran.

“Ucapan itu menggambarkan kesombongan diri yang sangat besar kerana menyatakan diri pengucap tersebut lebih berkemampuan dibandingkan malaikat jika Allah memerintahkan mereka untuk melakukan apa yang beliau sedang lakukan.

“Ia satu bunyi ucapan yang bernada takabur pada tahap tinggi yang tidak sepatutnya diucapkan. Ia bagaikan satu cabaran kepada Allah bahawa malaikat jika Allah perintah pun tidak berkemampuan seperti beliau,” jelasnya.

Menurut beliau, ucapan itu boleh juga difahami, jika malaikat yang Allah pilih untuk melaksanakan tugas kepimpinan parti beliau maka malaikat pun lari dan gagal.

“Ertinya, pilihan Allah pun akan gagal sedangkan beliau tidak gagal. Saya amat berharap, ini bukan maksud beliau.

“Saya harap perkataan ‘memerintahkan malaikat’ yang beliau menggunakannya itu tidak bermaksud “jika Allah memilih malaikat..”. Apa pun, ungkapan beliau sangat bahaya jika bermaksud demikian atau difahami demikian oleh pendengar,” tegasnya.

Jika ucapan itu jika disambut dengan sokongan pendengarnya maka kumpulan itu juga menanggung kesalahan jika tidak membantah.

Bagaimanapun mengenali latar tokoh tersebut, Mohd Asri secara peribadi percaya dalam diri beliau mungkin tidak bermaksud untuk mempersendakan ayat Allah atau meremehkan kedudukan malaikat.

“Beliau mungkin terlepas cakap dalam suasana yang seperti itu. Demikianlah akibatnya, jika agama dijadikan bahan dalam berpolitik.

“Maka saya mencadangkan beliau membetulkan kembali ucapan tersebut. Di samping beliau hendaklah sedikit tawaduk dengan keupayaan dirinya dan pohonlah kekuatan daripada Allah.

“Jangan dibandingkan dirinya dengan keupayaan malaikat jika Allah memerintahkan mereka. Saya amat bimbang ucapan seperti itu mendatangkan kemurkaan yang besar dari sisi Allah kerana padanya ada kesombongan yang tinggi.

“Setiap kita boleh sahaja tersilap dan tersalah. Apa yang penting kita membetulkan kesalahan itu terutamanya apabila ia menjadi bahan yang diketahui oleh masyarakat awam,” katanya lagi.

Menurut Mohd Asri, pandangannya tidak bertujuan politik tetapi sekadar peringatan.

“Tiada kaitan dengan parti politik tertentu. Kesilapan seperti itu mungkin terjadi pada sesiapa sahaja terutamanya apabila kita tidak berhati-hati,” ujarnya.

Walaupun Mufti Perlis itu tidak menamakan pemimpin politik berkenaan namun tular di media sosial kenyataan itu diucapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi baru-baru ini. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo