NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib bukan pengarah bayangan SRC – Peguam



KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak berhujah di Mahkamah Tinggi hari ini, bekas Perdana Menteri bukan pengarah bayangan dalam SRC International Sdn. Bhd. mahupun mengawal keputusan lembaga pengarah syarikat itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berhujah, tanggungjawab, tugas, amanah dan liabiliti terletak pada bahu lembaga pengarah.

“Najib bukan pengarah bayangan atau pernah menjadi pengarah de facto, apatah lagi berhutang kewajipan fidusiari kepada SRC International,” ujar beliau.

Muhammad Farhan berhujah dalam kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Dalam hujahnya, beliau berkata, Najib yang ketika itu Perdana Menteri tidak pernah berfungsi sebagai `minda yang mengawal SRC’.

Menurut beliau, lembaga pengarah dan pengurusan SRC International mempunyai autonomi, tanggungjawab dan kawalan eksklusif ke atas operasinya serta pengendalian hasil pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.

“Jika penyelewengan berlaku, ia adalah disebabkan oleh keputusan lembaga sendiri (atau pengabaian daripadanya) walaupun menerima arahan yang dikatakan daripada peringkat tertinggi.

“Beliau akhirnya meletakkan tanggungjawab dengan betul kepada kepada lembaga untuk menguruskan dana,” ujar Muhammad Farhan.

Menurut beliau, penglibatan Najib dalam SRC International terhad kepada kelulusan peringkat tertinggi atau menteri (seperti menyetujui dasar inisiatif pelaburan SRC atau menandatangani resolusi pemegang saham atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan Diperbadankan).

Katanya, perbuatan itu dilakukan dengan suci hati pada peringkat makro untuk menyokong pelaburan strategik negara dalam sektor tenaga, bukan untuk menipu SRC.

Semalam, mahkamah diberitahu, Najib harus bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 billion yang ditanggung SRC International kerana melakukan salah guna kuasa ketika memegang jawatan dalam kerajaan dan memperoleh ganjaran daripada dana syarikat itu.

Peguam Datuk Lim Chee Wee berhujah, SRC International yang pada dasarnya bertujuan memenuhi keperluan rakyat, sebenarnya menjadi mangsa penipuan berskala besar melalui bekas Perdana Menteri selaku benefisiari utama.

Hujah beliau, meskipun syarikat itu mengalami kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion, Najib (defendan pertama) secara peribadi menerima AS$120 juta ke dalam akaun miliknya dan RM42 juta yang merupakan perkara dalam saman berasingan.

SRC, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo