KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan hujahan lanjut bagi menyangkal dakwaan SRC International Sdn. Bhd. bahawa bekas Perdana Menteri memberi lima versi berbeza berhubung dana yang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ketika perbicaraan kes saman itu di Mahkamah Tinggi, Najib secara konsisten menafikan wang itu daripada syarikat berkenaan.
“Najib sebaliknya berkata, wang yang masuk dalam akaun beliau disangkakannya adalah derma dari Arab Saudi,” ujar peguam itu pada sidang media selepas prosiding penghujahan kes saman SRC International hari ini.
Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan kes saman yang difailkan terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.
Semalam, peguam, Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC International berhujah, Najib kerap menukar keterangannya dengan memberikan lima versi berbeza ketika ditanya berhubung penerimaan AS$120 juta dana syarikat itu yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.
Hujah peguam itu, Najib menafikan menerima wang daripada dana syarikat, sebaliknya mendakwa ia adalah derma selain menegaskan akaun berkenaan tidak diuruskannya sendiri dan semata-mata untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan 25 Ogos ini bagi menyambung sesi penghujahan.
SRC di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment