KUALA LUMPUR – Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya dan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur terus ‘sibuk’ dengan kes-kes kepentingan awam minggu depan.
Antaranya melibatkan hujahan berkaitan titah adendum dan pendengaran semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah, Datuk Peter Anthony, masing-masing di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, prosiding di ibu negara melibatkan penghujahan saman SRC International Sdn. Bhd. terhadap Datuk Seri Najib Razak, keputusan perintah komital ke atas bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dan hujahan berkaitan permohonan semakan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Tarikh prosiding diperoleh berdasarkan semakan terhadap laman web mahkamah.
Di Mahkamah Tinggi di sini esok, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dijadual mendengar penghujahan kes saman SRC International terhadap Najib bagi menuntut perisytiharan agar beliau bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami oleh syarikat itu.
SRC International di bawah pengurusan baharu, memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
SRC juga menuntut deklarasi supaya Najib dipertanggungjawabkan akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan mahukan bekas Perdana Menteri membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.
Sementara itu, pada Selasa ini, Isham akan mengetahui sama ada beliau dikenakan perintah komital kerana menghina mahkamah ekoran kenyataannya dalam satu temu bual dua tahun lalu.
Keputusan itu sepatutnya dijadual minggu lalu namun ditangguhkan Selasa ini. Ia akan disampaikan oleh Hakim K. Muniandy selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada 30 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berhujah mewakili Peguam Negara manakala peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil.
Permohonan komital itu difailkan oleh Peguam Negara pada 28 Disember 2023 agar Isham dikenakan perintah pemenjaraan atau denda susulan satu temu bual bertajuk `Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ yang diadakan pada 30 September 2023.
Rakaman temu bual itu menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib yang disiarkan di laman media sosial Facebook `The Malaya Post’ hari yang sama.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, kenyataan beliau adalah satu bentuk campur tangan dalam pentadbiran keadilan dan merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah yang boleh menjejaskan keyakinan awam.
Rabu pula, Mahkamah Persekutuan akan menyambung pendengaran rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah mula mendengar penghujahan pada 2 Julai lalu menetapkan sesi disambung 9 Julai ini.
Mahkamah selesai mendengar penghujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar diikuti oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili bekas Perdana Menteri yang akan menyambung hujahnya.
Mohd. Dusuki dalam hujahnya antara lain Najib dan anaknya Datuk Mohamad Nizar tidak mengemukakan bukti munasabah berkaitan kewujudan titah adendum, walhal berpeluang berbuat demikian di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Peguam Negara berhujah, Mohamad Nizar yang merupakan Exco Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, mempunyai segala ruang mendapatkan titah itu kerana beliau kerap menghadiri mesyuarat dan pertemuan dengan Sultan Pahang.
Bagaimanapun Muhammad Shafee dalam hujahnya pula menyatakan, Peguam Negara sepatutnya lebih awal mengesahkan titah adendum yang dikeluarkan terhadap Najib kerana dokumen itu diserahkan terus kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Hujah beliau, titah berkenaan dialamatkan sendiri kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), membuktikan agensi itu mempunyai pengetahuan mengenai kewujudannya.
Pada Rabu juga, Mahkamah Rayuan dijadual mendengar permohonan Peter untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana pemalsuan dokumen.
Panel bersidang diketuai oleh Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali turut akan mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah.
Peter didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Pemohon kemudiannya telah merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi dan ditolak pada 18 April 2023. Tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, Peter selanjutnya merayu ke Mahkamah Rayuan dan ia juga ditolak pada 4 Mac lalu.
Sementara itu, pada Jumaat ini (11 Julai), Mahkamah Tinggi di sini akan menyambung hujah berkaitan permohonan semakan Na’imah yang juga balu bekas Menteri Kewangan untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.
Hakim Muniandy mendengar penghujahan peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar pada 13 Jun lalu bahawa Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan daripada segi undang-undang ketika menolak permohonan Na’imah untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Persoalan itu antara lain menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.
Na’imah memohon Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment