KUALA LUMPUR – Kesemua pemandu bas dan lori yang digantung lesen diwajibkan untuk mengikuti program latihan semula sebelum dibenarkan kembali memandu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, tindakan tegas itu adalah sebahagian daripada usaha JPJ memperketat kawalan terhadap pemandu kenderaan perdagangan, terutama mereka yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.
“Mana-mana pemandu yang terlibat dalam kemalangan, lesen PSV atau GDL mereka akan digantung serta-merta.
“Dan sebelum lesen itu boleh diaktifkan semula, mereka wajib lulus program latihan semula yang dikendalikan oleh JPJ,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini, hari ini.
Menurutnya, program latihan semula tersebut bukan sekadar formaliti, sebaliknya akan memfokuskan kepada aspek keselamatan jalan raya, pemahaman semula undang-undang, perubahan sikap pemandu serta pengendalian kenderaan secara berhemah.
“Kami akan menetapkan lokasi dan tempoh kursus yang perlu dilengkapkan, manakala peserta turut akan dikenakan bayaran bagi menampung kos program berkenaan,” tambahnya.
Selain itu, pihaknya mengambil langkah lebih proaktif dengan menggantung serta-merta lesen pemandu bas dan lori sebaik sahaja mereka disahkan terlibat dalam kemalangan tanpa perlu menunggu hasil siasatan lengkap daripada pihak polis.
“Kita tak boleh tunggu sampai siasatan selesai. Sebaik sahaja kita terima laporan awal daripada PDRM, kita akan keluarkan notis tunjuk sebab dan seterusnya menggantung lesen.
“Kalau siasatan kemudian membuktikan mereka tidak bersalah, kita akan tarik balik penggantungan itu. Tapi kalau bersalah, tindakan lanjut termasuk pembatalan lesen akan diambil,” jelasnya.
Setakat ini, JPJ telah memulakan penggantungan lesen vokasional terhadap lima pemandu termasuk kes nahas FRU di Teluk Intan serta beberapa insiden membabitkan pemandu bas dan lori yang dikenal pasti melalui siasatan awal.
Dalam masa yang sama, JPJ turut memperketat penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas.
Aedy berkata pemandu bas ekspres dan bas persiaran boleh dikenakan tindakan jika penumpang mereka didapati tidak memakai tali pinggang keledar.
“Tanggungjawab itu bukan lagi terletak pada penumpang semata-mata, sebaliknya turut dipikul oleh pemandu.
“Pemandu perlu beri peringatan kepada penumpang sebelum bas bergerak. Jika tidak, mereka juga boleh dikompaun,” katanya.
Bukti rakaman CCTV juga akan diteliti untuk mendapatkan pengesahan penumpang untuk memastikan sama ada peringatan telah diberikan.
Sekiranya, pemandu yang berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Setakat 5 Julai lalu, sebanyak 510 notis dikeluarkan dalam Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar, termasuk 80 notis kepada pemandu yang tidak memakai tali pinggang keledar serta 396 kes melibatkan penumpang atau kelindan.
Aedy Fadly menegaskan bahawa semua tindakan ini adalah sebahagian daripada langkah pembaharuan JPJ dalam memperkukuh budaya keselamatan jalan raya di Malaysia.
“Pemandu kenderaan perdagangan bukan sahaja membawa kenderaan besar, mereka membawa nyawa. Jika mereka cuai dan langgar peraturan, kita tidak akan kompromi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

Interesting move by JPJ—retraining suspended bus and lorry drivers sounds like a solid step toward safer roads. It reminds me of how leaders like ACE Group's Ajay Chaudhary emphasize continual learning and discipline in their organizations to maintain long-term excellence. Great initiative overall
ReplyDelete