KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk tampil memberikan penjelasan berhubung kedudukan Malaysia dalam isu pertikaian wilayah Blok Ambalat yang melibatkan Indonesia.
Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Shahir Adnan menegaskan, Blok Ambalat di perairan strategik Selat Sulawesi merupakan kawasan maritim yang sedang dipertikaikan antara Malaysia dan Indonesia dengan isu utama membabitkan kedaulatan, hak terhadap sumber asli serta kerangka undang-undang yang mengawal sempadan maritim.
“Isu ini memberi implikasi besar kepada Malaysia, khususnya kepada rakyat Sabah yang berada paling hampir dengan kawasan pertikaian. Rakyat berhak tahu pendirian kerajaan kerana ia membabitkan kedaulatan negara dan sumber asli yang menjadi hak bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, di bawah kerangka perundangan sedia ada, pengurusan sumber luar pesisir dikawal oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memberi kuasa penuh kepada PETRONAS untuk meneroka dan mengeksploitasi sumber minyak dan gas melebihi tiga batu nautika dari pantai.
“Akta Laut Wilayah 2012 (TSA 2012) pula menetapkan sempadan laut wilayah Malaysia dan mengukuhkan bidang kuasa persekutuan terhadap sumber luar pesisir. Namun begitu, pertikaian seperti Blok Ambalat ini menunjukkan wujudnya persimpangan rumit antara undang-undang domestik dan prinsip undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahir menyarankan pendekatan diplomatik berasaskan kerjasama ekonomi seperti penubuhan Kawasan Pembangunan Bersama (Joint Development Area – JDA) antara Malaysia dan Indonesia sebagai penyelesaian alternatif tanpa perlu melalui Mahkamah Antarabangsa.
“Model JDA Malaysia–Thailand membuktikan bahawa diplomasi ekonomi boleh menjadi jalan penyelesaian efektif. Pemeteraian Triti Laut Sulawesi juga menunjukkan potensi kerjasama dua hala melalui prinsip pembatasan sempadan maritim berdasarkan justifikasi perundangan dan teknikal yang kukuh,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, tiga langkah penting yang perlu diambil kerajaan dalam menangani isu ini.
“Pertama, perlu ada pengukuhan kerangka undang-undang bagi mengiktiraf hak Sabah dalam struktur persekutuan.
“Kedua, dialog dua hala dengan Indonesia harus digiatkan bagi mencapai persefahaman bersama.
“Ketiga, Sabah mesti dilibatkan secara langsung dalam pengurusan dan keputusan berkaitan sumber luar pesisir demi menjamin kerjasama yang kukuh dan mengelakkan ketegangan,” tambahnya.
Shahir yang juga Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS) berkata, isu ini bukan sahaja memerlukan kecekapan diplomatik, tetapi juga keberanian politik untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mencari penyelesaian yang adil dan lestari. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment