KUALA LUMPUR – Seorang ‘ustaz’ yang ditahan polis kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah baru-baru ini, disahkan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di Selangor.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata, MAIS telah menarik tauliah mengajar individu berkenaan sejak 2022.
Malah, ustaz tersebut juga pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah yang bersalahan dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Kes berkenaan masih dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah, katanya.
“Dalam kes tersebut, seorang individu yang juga merupakan salah seorang pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki telah menyebabkan ceramah tanpa tauliah tersebut berlaku.
“MAIS menegaskan bahawa pihak JAIS sentiasa memantau rapat perkara tersebut dan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan laporan berita penahanan seorang ‘ustaz’ oleh Polis Diraja Malaysia kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah.
Tambah beliau, MAIS menzahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa individu yang masih terus mengajar agama Islam di Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah mengajar ataupun tarikh tauliahnya telah luput.
Malah masih terdapat penceramah bertauliah yang melanggar syarat tauliah dan etika yang ditetapkan.
Jelasnya, semua kejadian yang berlaku itu disebabkan terdapat segelintir pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat untuk memantau penceramah-penceramah yang mengajar di masjid dan surau mereka agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Sikap sebegini hanya akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan memberi imej yang buruk terhadap agama Islam dan agensi Islam.
“Malah, jika perkara ini dibiarkan, ia boleh menyumbang kepada berlakunya penyelewengan dalam pengajaran agama Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, MAIS mengingatkan pihak masjid dan surau di Negeri Selangor dan semua umat Islam agar sentiasa memastikan penceramah agama yang diundang mempunyai tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan oleh MAIS atau telah mendapat pengecualian sewajarnya daripada MAIS menurut undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambahnya, semua pihak digesa untuk memahami dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Hindarilah sikap prejudis dan memandang remeh terhadap undang-undang serta ketetapan yang dibuat oleh MAIS dalam mengurus hal ehwal umat Islam di Negeri Selangor.
Sejak 2022, MAIS telah menarik balik tauliah mengajar agama melibatkan 35 individu kerana beberapa kesalahan yang melibatkan perlanggaran syarat tauliah mengajar, melakukan pengajaran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, melakukan perbuatan jenayah dan memegang jawatan dalam politik.
Beberapa individu juga kini digantung tauliahnya sementara siasatan dibuat menurut undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu beliau menegaskan, semua dasar mahupun keputusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dibuat dengan teliti serta telah disembah maklum dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam.
Semua dasar dan ketetapan ini juga dibuat bertujuan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Negeri Selangor. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment