BANGI, 12 Muharram – Bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi bulan Julai 2025 mencatat kenaikan mendadak hanya dalam tempoh lapan hari, melebihi jumlah biasa yang dijangka untuk keseluruhan bulan.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan rakyat di seluruh negara.
Seorang pengguna, Atikah Kadir, meluahkan rasa kecewa selepas mendapati bil elektriknya yang biasanya sekitar RM200 tiba-tiba meningkat sehingga RM375 dalam masa lapan hari sahaja.
“Biar betul? Baru lapan hari, bil sudah naik melebihi bil sebulan. Macam mana nak hadap ni?,” tulisnya di Facebook.
Aina juga berkongsi bahawa dia menerima bil elektrik sekitar RM90 beberapa hari lalu, namun kini bil itu melonjak melebihi RM300 walaupun penggunaan masih rendah.
“Situasi ini amat membebankan dan sukar untuk saya uruskan perbelanjaan harian,” katanya.
Rizal pula mengakui bil elektriknya yang biasanya sekitar RM200 kini meningkat sehingga RM500, walaupun tempoh bil masih belum tamat. Dia berasa tertekan dan bimbang dengan kemampuan mengurus kewangan keluarga.
Bagi golongan berpendapatan rendah, terutamanya kelompok B40, seorang pengguna bernama Faizal berharap agar kerajaan dapat memperkenalkan subsidi atau bantuan segera untuk meringankan beban rakyat.
Siti pula berkongsi bahawa walaupun sudah berusaha mengurangkan penggunaan elektrik di rumah, bil tetap naik.
“TNB perlu kaji semula tarif supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.
Nora pula menegaskan, keadaan ekonomi yang semakin mencabar dengan kenaikan harga barang bertambah buruk apabila bil elektrik turut meningkat mendadak.
“Bukan semua mampu tanggung kos sebegini. Harus ada langkah membantu,” tambahnya.
Seorang pengguna lain berkongsi rasa kecewa selepas membuka aplikasi myTNB pagi tadi, apabila mendapati penggunaan hanya 363 kWh tetapi bil sudah mencecah RM362.98 — jauh lebih tinggi berbanding sebelum 7 Julai, yang hanya sekitar RM90.
Menurutnya, pada bulan Jun penggunaan adalah sebanyak 836 kWh dengan bil RM376.75, manakala pada Mei penggunaan 701 kWh tetapi bil masih di bawah RM300.
“Penggunaan sekarang lebih rendah daripada Mei, tapi kenapa bil jauh lebih tinggi? TNB CareLine?” soalnya.
AreFunde Ib Rahim turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan bil yang naik berganda.
“Biasa dalam RM200, tiba-tiba naik sampai RM500, walaupun tarikh bil belum habis lagi,” katanya.
Kenaikan ini berlaku susulan pengumuman kerajaan menaikkan tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia sebanyak 14.2 peratus – daripada 39.95 sen kepada 45.62 sen per kWh, berkuat kuasa 1 Julai 2025. Ia merupakan sebahagian daripada Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) yang berlangsung dari Januari 2025 hingga Disember 2027.
Walaupun struktur tarif baharu diumumkan oleh TNB pada 21 Jun, pengguna sebelum ini tidak merasai kesannya kerana kerajaan menampung perbezaan kos melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) bagi tempoh Januari hingga Jun. Namun mulai Julai, pengguna mula membayar tarif sebenar sepenuhnya.
Struktur baharu ini turut membahagikan bil elektrik kepada beberapa komponen seperti caj tenaga, kapasiti, rangkaian, peruncitan serta pelarasan bahan api automatik (AFA).
Pengguna dilaporkan boleh memilih skim Time-of-Use (ToU) untuk menikmati kadar lebih rendah pada waktu luar puncak, bergantung kepada jenis meter dan corak penggunaan.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment