PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu, Peguam Negara mempunyai segala peluang untuk mengesahkan titah adendum yang dikeluarkan terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana dokumen itu diserahkan terus kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, titah berkenaan dialamatkan sendiri kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), membuktikan agensi itu mempunyai pengetahuan mengenai kewujudannya.
Hujah beliau, dokumen berkenaan turut dilihat oleh pihak-pihak tertentu yang menguatkan lagi bukti bahawa titah berkenaan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, wujud.
Menurut peguam tersebut, pihaknya turut mahukan kepastian kerana dokumen Lembaga Pengampunan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, berbeza dengan titah adendum.
Katanya, Lembaga Pengampunan memberi diskaun 50 peratus kepada Najib terhadap hukuman penjara dan denda bagi kesalahan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. manakala titah adendum membolehkan baki hukuman penjara itu dijalani sebagai tahanan rumah.
Hujah beliau, Peguam Negara (pihak yang dinamakan dalam semakan kehakiman) kemudian mengemukakan permohonan bertulis kepada Mahkamah Rayuan melalui surat bertarikh 13 Disember 2024 untuk lanjutan masa membalas afidavit bekas Perdana Menteri.
Menurut Muhammad Shafee, ketika di Mahkamah Rayuan, Peguam Negara malahan tidak membantah atau mempertikai kewujudan dokumen berkenaan.
Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan betul ketika mencapai keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Najib dan memerintahkan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan di hadapan hakim berlainan.
Mahkamah tertinggi negara sedang mendengar rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 April lalu dengan mengemukakan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.
Panel Mahkamah Rayuan turut membenarkan Peguam Negara merayu keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu atau tambahan bertarikh 3 Disember tahun lalu.
Keterangan baharu itu membabitkan afidavit anak Najib yang memasukkan sesalinan titah adendum yang diterimanya dari Pejabat Sultan Pahang, namun pada asalnya dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan YDPA ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Prosiding di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah bersambung 9 Julai ini. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment