KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mencabar Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar agar tampil membuktikan dakwaan bahawa beliau telah bekerja secara senyap untuk menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan, sebagai pemimpin dalam parti yang membentuk kerajaan, Nurul Izzah tidak sepatutnya mengambil pendekatan diam atau tertutup sebaliknya wajar berterus terang dan telus terhadap rakyat.
Ia terutamanya untuk komuniti India yang menanti hasil daripada segala usaha yang dijanjikan.
“Kami menghormati Nurul Izzah tetapi masyarakat berhak tahu apakah isu yang telah berjaya diselesaikan menerusi pendekatan di belakang tabir seperti yang beliau dakwa.
“Parti beliau adalah sebahagian daripada kerajaan yang memegang kuasa untuk melaksanakan dasar dan membuat keputusan. Jadi mengapa masih mahu berselindung?” soalnya dalam kenyataan.
Saravanan turut mengakui MIC sendiri pernah melakukan kesilapan serupa semasa bersama kerajaan Barisan Nasional apabila tidak mendedahkan secara terbuka tuntutan dan usaha yang dilakukan demi masyarakat India.
Beliau berkata, MIC tidak mahu kesilapan itu berulang, terutama dalam konteks pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Justeru, beliau menegaskan komuniti India perlu diberi peluang untuk menilai secara terbuka apakah yang telah dirancang dan sedang diperjuangkan oleh kerajaan untuk mereka dalam perancangan nasional kali ini agar tidak terus dipinggirkan.
Saravanan turut mendedahkan MIC telah mengemukakan lapan cadangan utama kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam RMK-13.
Antaranya ialah permintaan agar dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) disalurkan secara telus dan berkesan kepada penerima sebenar tanpa campur tangan politik.
Beliau juga menyeru agar kerajaan menetapkan peruntukan tahunan secara statutori untuk sekolah-sekolah Tamil termasuk daripada aspek operasi dan infrastruktur selain agar tempat di program matrikulasi dan institusi pengajian tinggi awam ditambah khusus khas untuk komuniti ini.
Saravanan juga menekankan keperluan untuk memperkasakan program latihan kemahiran dan peningkatan semula kemahiran di bawah pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk belia India, agar mereka tidak ketinggalan dalam persaingan pasaran kerja kelak.
Beliau turut menggesa kerajaan menyediakan kuota perumahan mampu milik khusus untuk golongan B40 dalam kalangan masyarakat India, di samping menyokong usahawan wanita India menerusi kemudahan mikro kredit, geran dan program latihan keusahawanan.
Dalam masa sama, Saravanan berkata, MIC juga menuntut agar kerajaan mengambil langkah tegas dalam melindungi institusi keagamaan Hindu dan warisan budaya terutama kuil-kuil yang terletak di atas tanah persendirian.
MIC mencadangkan agar perlindungan undang-undang disediakan bagi memastikan tempat-tempat ibadat ini tidak diancam pembangunan atau pengusiran secara paksa.
“Kita juga mencadangkan agar diwujudkan satu Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India yang berperanan sebagai dokumen panduan utama untuk menyelaras, memantau dan menilai keberkesanan setiap inisiatif serta dasar berkaitan masyarakat India.
“Kami tidak mahu lagi membuat permintaan di belakang tabir. Kami memilih untuk menyatakan secara terbuka apa yang kami perjuangkan kerana masyarakat perlu tahu dan menilai sendiri usaha yang telah dilakukan. Kami mahu rakyat pegang kerajaan kepada apa yang dijanjikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Saravanan turut mencabar Nurul Izzah agar mendedahkan pencapaiannya setakat ini dalam isu kemasukan pelajar India ke program matrikulasi, yang menurutnya merupakan antara isu paling mendesak yang dihadapi masyarakat.
“Jika benar anda bekerja untuk masyarakat India, buktikan. Tunjukkan apa yang telah dilakukan dalam isu pengambilan pelajar ke matrikulasi. Biar masyarakat menilai sendiri adakah pendekatan diam ini benar-benar membawa hasil yang nyata?” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment