NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HIV: PrEP bukan penyelesaian utama kepada akar masalah – Pakar perubatan



KUALA LUMPUR – Aktivis kesihatan mengingatkan isu jangkitan HIV khususnya dalam kalangan generasi muda bukan hanya boleh ditangani sekadar memberi rawatan atau ubat mencegah jangkitan seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP).

Sebaliknya, menurut Dr. Nur Najwa Hanim Abd Latiff, gejala itu menyentuh soal tingkah laku seksual, tekanan sosial dan pembentukan identiti yang kesemuanya berlaku dalam fasa kehidupan yang masih rapuh dan mudah terpengaruh.

Menurut beliau yang juga Pakar Psikiatri Klinikal, daripada sudut psikologi perkembangan, golongan remaja masih memerlukan bimbingan, kawalan dan sempadan yang sihat.

Tambahnya, PrEP meskipun mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV jika diambil dengan betul, namun ia bukan penyelesaian utama kepada akar masalah.

Ujar beliau, PrEP tidak mencegah jangkitan kelamin lain, tidak merawat kemurungan akibat konflik identiti dan tidak menenangkan jiwa remaja yang keliru dengan arah hidup.

“Bahkan jika akses kepada PrEP dilonggarkan tanpa sempadan nilai, ia boleh disalahgunakan dan menjadi ‘lesen selamat’ untuk meneruskan tingkah laku berisiko tinggi, termasuk hubungan sejenis secara tersembunyi dan berulang,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Menurut Dr. Nur Najwa Hanim yang juga aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), apa yang lebih berbahaya sekiranya ada suara yang mencadangkan PrEP diberi tanpa kebenaran ibu bapa sehingga diangkat menjadi dasar.

Sedangkan, kata beliau, dalam sistem perubatan negara, ibu bapa bukan sekadar penjaga sah malah mereka adalah pelindung dan pendidik utama anak-anak.

“Menafikan hak ibu bapa dalam keputusan penting anak bawah umur bukan sahaja bercanggah dengan garis panduan etika perubatan dan Akta Kanak-Kanak 2001 malah mengancam struktur kekeluargaan yang menjadi tunjang masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu masyarakat tidak boleh terus mendiamkan diri apabila wujud usaha untuk menormalisasikan budaya dan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai agama dan budaya di negara ini, dan menunggang atas nama kesihatan awam atau hak asasi manusia tanpa sempadan.

Ujarnya, usaha mencegah homoseksualiti yang menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV misalnya bukan tindakan membenci, tetapi langkah mendidik dan melindungi.

Ia juga adalah mesej kesihatan awam yang perlu disampaikan dengan kasih sayang dan penuh hikmah.

“Bercakap tentang akhlak, kawalan nafsu dan harga diri bukanlah satu stigma tapi ia adalah satu tanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, sudah tiba masa pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Pendidikan (KPM); Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berkepentingan dan seluruh masyarakat berganding bahu menyusun semula pendekatan dalam menangani isu jangkitan HIV tersebut.

Malah I-Medik sendiri dalam berkempen dan turun padang bertemu masyarakat dalam memberi kesedaran tentang konsep pendidikan seksualiti yang patuh syarie tanpa mengabaikan konsep nilai, budaya dan agama.

“PrEP mungkin salah satu alat intervensi tetapi ia tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi jalan utama dalam menangani krisis ini.

“Anak-anak kita masih boleh dibentuk. Jangan biarkan mereka hanyut dalam arus normalisasi yang menenggelamkan suara ibu bapa, meremehkan agama dan meleraikan nilai,” katanya. – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo