NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembangunan bersama Laut Sulawesi masih dalam pertimbangan



KUALA LUMPUR – Pembangunan bersama (JD) di Laut Sulawesi masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin mengakui, perkara itu ada dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 27 Jun lalu.

Namun, tegas beliau, Anwar sendiri menyebut  kepentingan wilayah Sabah dalam perkara itu mesti diambil kira dan dilihat secara adil.

Menjelaskan lebih lanjut, tambahnya, untuk merealisasikan idea JD di Laut Sulawesi perlu melalui banyak proses terutama mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada Kerajaan Wilayah Sabah.

Sehubungan itu mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sabah yang sedia ada telah dan akan digunakan sepenuhnya dalam idea JD di laut berkenaan.

“Antara mekanisme tersebut ialah Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

“Kerajaan Malaysia akan terus komited untuk memperhalusi dan mencari kesepakatan mengenai perkara ini melalui rundingan mekanisma sedia ada dan memastikan kedaulatan dan kepentingan negara termasuklah kepentingan wilayah Sabah akan sentiasa dipertahankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan yang disuarakan banyak pihak susulan laporan media berhubung komitmen Anwar dan dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk kedua-dua negara mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurut Mohamad lagi, proses memuktamadkan sempadan maritim di Laut Sulawesi juga mengambil masa yang panjang.

Katanya, ia dibuat melalui sebuah Jawatankuasa Teknikal yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri dan dianggotai oleh pelbagai agensi termasuk Kerajaan Wilayah Sabah, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Pejabat Peguam Negara (Sabah), Jabatan Pemetaan Malaysia, Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dan banyak lagi.

Dalam masa sama, jelas beliau, idea untuk JD di Laut Sulawesi membabitkan ND6 dan ND7 (yang dirujuk oleh Indonesia sebagai Ambalat) bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah pada 2022, ujarnya, Perdana Menteri ketika itu pernah mengarahkan Petronas untuk mempertimbangkan kajian mengenai cadangan JD berkaitan.

Tambahnya, semua pihak maklum bahawa blok ND6 dan ND7 dilaporkan memiliki simpanan sumber asli seperti minyak dan gas yang signifikan.

Namun, kata beliau, Malaysia dan Indonesia masih tidak boleh mengesksplorasi kedua-dua blok itu berikutan ia masih dalam pertikaian dari sudut persempadanan maritim antara kedua-dua negara.

“Melihat kepada potensi ekonomi yang signifikan ini – sementara proses pemuktamadan persempadanan maritim di Laut Sulawesi antara kedua-dua buah negara berjalan – ada pihak mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi ini secara bersama (Joint Development – JD),” katanya. – MalaysiaGazette




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo