KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan penghargaan atas kejayaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan dadah dalam timbunan najis lembu di Pasir Mas dan Tumpat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri komited sepenuhnya dalam jihad memerangi dadah dan akan terus bekerjasama erat dengan agensi keselamatan bagi memastikan jenayah dadah dilumpuhkan sepenuhnya.
Menurut beliau, kebersamaan itu penting dalam melindungi rakyat serta menjamin masa depan negeri yang lebih selamat dan bermaruah.
“Semoga usaha ini terus diperkukuh demi memastikan Kelantan bebas daripada ancaman dadah dan segala bentuk jenayah yang merosakkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Semalam polis menahan enam suspek termasuk sepasang suami isteri, selepas disyaki memiliki dadah jenis pil kuda seberat lebih 35.4 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5.04 juta di Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan, 27 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, semua suspek itu membabitkan lima lelaki dan seorang wanita berusia 25 sehingga 39 tahun yang dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah sejak 2022.
Katanya, pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu adalah suspek utama yang dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makan, pusat kecantikan dan perniagaan dalam talian.
Beliau berkata, pasukan JSJN Bukit Aman bersama Polis Kontinjen Kelantan melakukan intipan terperinci sebelum melancarkan serbuan pertama dan menahan suspek utama, disusuli penangkapan lima suspek lain.
Hasil serbuan terbabit, Mat Zani berkata, polis turut menyita harta dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta membabitkan kereta mewah, motosikal, barang kemas dan beg berjenama. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment