KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui kelemahan lantikan seorang individu yang dikaitkan sebagai tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Rembau telah memberi impak yang besar ke atas persepsi umum terhadap kementerian terbabit.
Sehubungan itu, menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan proses pelantikan ALPH di seluruh negara akan disemak semula dan diperkemas.
Menurutnya, ia termasuk daripada aspek kriteria kelayakan serta sumbangan kepada masyarakat setempat yang selari dengan dasar kesihatan awam negara.
“Saya bersama KKM komited untuk terus memperkukuh integriti dan kredibiliti sistem kesihatan negara, termasuk melalui pelantikan wakil masyarakat yang tepat, berwibawa dan berprinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tular di media sosial berkenaan seorang individu berkepentingan dalam persatuan peruncit peranti vape dilantik sebagai ALPH, Hospital Rembau, Negeri Sembilan sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak.
Perkara itu turut mendapat perhatian penceramah bebas, Firdaus Wong menerusi laman sosial Facebooknya yang mendedahkan pada 23 Jun lalu, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Adzwan Ab Manas memuat naik sepucuk surat pelantikan sebagai ALPH berkenaan.
Sementara itu, menjelaskan mengenai kontroversi pelantikan ALPH Rembau tersebut, Dr. Dzulkefly berkata, KKM menerima sebanyak 2,860 pencalonan bagi ALPH daripada pelbagai pihak termasuk hospital, Exco Kesihatan Negeri serta pemimpin masyarakat untuk 143 hospital di seluruh negara.
Katanya, setiap pencalonan yang diangkat kepada beliau telah melalui proses tapisan dengan mengambil kira pertimbangan, penilaian dan perakuan atau syor daripada wakil-wakil negeri masing-masing.
“Namun dalam hal ini, wujud khilaf dalam proses tapisan tersebut di mana latar kerjaya calon yang dilantik mempunyai elemen Conflict of Interest dengan dasar kesihatan semasa yang diperjuangkan KKM.
“Untuk makluman, individu tersebut tidak lagi berkhidmat sebagai ALPH Rembau,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment