KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa campur tangan secara langsung bagi mempercepatkan penyaluran dana sebanyak RM40 juta yang telah diluluskan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Ini kerana menurut Ahli Dewan Negara, Senator R Lingeshwaran, dana itu belum disalurkan walaupun kelulusan telah diberi sejak empat bulan lalu.
Katanya, sebanyak 45 program yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat India telah diperakukan sepenuhnya di bawah Fasa 1 Belanjawan 2025.
Program-program itu merangkumi pelbagai inisiatif berimpak tinggi termasuk pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan pemerkasaan wanita.
“Ini bukan permohonan yang sedang menunggu kelulusan sebaliknya 45 program yang telah dinilai, diluluskan dan ditandatangani melalui perjanjian rasmi bersama NGO sah, penyedia latihan dan rakan pembangunan sosial. Tetapi sehingga kini, tiada satu sen pun disalurkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lingeshwaran menegaskan kelewatan itu bukan sahaja mencetuskan kekeliruan dan kekecewaan dalam kalangan pemohon malah turut menjejaskan pelaksanaan program yang dirancang dan menggugat kepercayaan masyarakat terhadap MITRA serta kerajaan perpaduan.
Beliau turut menjelaskan, permohonan bagi Program Pembangunan Sosioekonomi MITRA 2025 (PPSMI) telah dibuka pada 2 Disember 2024 dan ditutup pada 5 Januari 2025.
Dalam tempoh itu, pelbagai pertubuhan telah mengemukakan cadangan program yang memenuhi kriteria seterusnya melalui proses penilaian menyeluruh dan akhirnya menerima kelulusan rasmi.
“Enam bulan telah berlalu sejak permohonan dibuka, semua pemohon ini telah mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan, cadangan dinilai, dokumen lengkap dihantar dan perjanjian dimeterai. Apa yang tertangguh hanyalah proses terakhir iaitu pelepasan dana.
“Malangnya, tiada penjelasan rasmi diberikan kepada masyarakat,” ujar beliau.
Senator DAP itu turut menyatakan kebimbangan kelewatan ini telah mengganggu garis masa pelaksanaan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat India khususnya di kawasan bandar dan luar bandar yang amat memerlukan bantuan pembangunan.
“Kerajaan telah memperuntukkan dana ini demi kebaikan rakyat. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab MITRA untuk memastikan dana sampai kepada golongan sasaran dalam masa yang sepatutnya,” katanya.
Lingeshwaran menegaskan hanya penglibatan langsung Perdana Menteri mampu mengembalikan kepercayaan masyarakat India terhadap komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memperjuangkan hak dan pembangunan komuniti tersebut.
“Saya menyeru Perdana Menteri segera mengambil tindakan dalam perkara ini. Jangan biarkan keikhlasan dan usaha pemohon yang telah bertungkus-lumus ini dipersiakan. Kita tidak boleh terus menangguhkan pembangunan masyarakat yang memerlukan,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa MITRA tampil memberikan penjelasan terbuka mengenai punca sebenar kelewatan penyaluran dana ini dan mengutamakan ketelusan dalam pelaksanaan program di bawah agensi berkenaan. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment