RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan bagi 2024.
Perbelanjaan tambahan tersebut melibatkan kegunaan peruntukan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM12,624,721,830, Kumpulan Wang Terkanun (RM3,151,419,300), Kementerian Pendidikan (RM1,763,672,170), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1,148,146,080), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,077,146,050).
Peruntukan itu juga bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (RM417,999,870) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM8,194,200).
Ketika menggulung perbahasan, Amir berkata kerajaan membelanjakan lebih RM70 bilion untuk subsidi, insentif dan bantuan pada 2024 dengan komitmen perbelanjaan melebihi anggaran asal Belanjawan 2024 sebanyak RM58 bilion.
Antara sebab utama peningkatan itu untuk menampung keperluan tambahan bagi subsidi produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
“Belanjawan 2024 disediakan berdasarkan andaian penyasaran subsidi diesel dan RON95 akan dilaksanakan awal 2024,” katanya.
Menurutnya, penjadualan penyasaran semula subsidi merupakan penyumbang utama kerajaan menampung komitmen tambahan RM12.1 bilion berbanding anggaran asal untuk subsidi produk petroleum sebanyak RM18.52 bilion.
Mengenai mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan, Amir berkata ia selaras dengan penyasaran subsidi elektrik dan diesel yang melibatkan penetapan harga berperingkat.
Beliau berkata penyasaran subsidi elektrik mengguna pakai pendekatan iaitu pengguna elektrik dengan tahap penggunaan lebih tinggi dikenakan tarif elektrik yang lebih tinggi, manakala penyasaran subsidi diesel pula menetapkan harga jualan runcit di pam tanpa subsidi iaitu pada masa ini RM3.18 seliter.
“Subsidi kemudian disasarkan kepada sektor yang layak seperti kenderaan sektor logistik dengan menggunakan kaedah ‘fleet card’ untuk terus membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 iaitu RM1.00 lebih rendah, sementara pengguna yang layak pula menerima bantuan tunai Budi Madani,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika menggulung perbahasan bagi kementerian berkata seramai 1.8 juta rakyat mendaftar MyDigital ID setakat Januari 2025, dengan sasaran 15 juta pengguna menjelang Julai tahun ini.
Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan merangka langkah strategik termasuk mengintegrasikan sistem aplikasi kerajaan, menetapkan pendaftaran penjawat awam sebagai petunjuk prestasi utama (KPI), serta mempertimbangkan insentif dan subsidi kepada pengguna.
“Setakat ini 10 aplikasi telah diintegrasikan, 12 masih dalam proses, 12 lagi dalam perancangan dan lapan masih lagi dinilai,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan bagi kementerian berkata beliau bercadang untuk membentangkan pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan pandangan yang lebih mendalam sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
Beliau berkata sistem eCOSS penting sebagai langkah untuk memantau bekalan minyak paket bersubsidi bagi memastikan tiadanya berlaku ketirisan minyak masak.
Persidangan bersambung esok.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

It’s always interesting to see how legislative decisions impact different sectors. Just like how policies shape the real estate market, finding Flats for Sale in Noida requires staying updated on trends and regulations to make the best investment decisions
ReplyDelete