NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP, SUPP bertegang urat hal akta petroleum




PETALING JAYA
Sayap-sayap Pemuda DAP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) saling menuduh masing-masing berbolak-balik dengan pendirian berhubung undang-undang persekutuan di tengah-tengah pertikaian hak minyak dan gas negeri itu.

Pemuda SUPP Kuching mendakwa Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini mengakui kesahihan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974, apabila beliau mencadangkan negeri itu membeli saham Petronas, lapor Borneo Post.

Morgan Kon daripada Pemuda SUPP Kuching dilaporkan berkata, Chong pada 2018 menggesa kerajaan Sarawak membeli saham Petronas, dengan mendakwa ia akan menjadi pelaburan paling berbaloi bagi negeri itu.

Kon tertanya-tanya mengapa Chong kini membantah PDA dan menuduh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melepaskan hak Sarawak.

“DAP sebagai parti terbesar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada pada kedudukan yang bagus untuk memperjuangkan lebih banyak hak cukai bagi Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda DAP Sarawak mendakwa SUPP mengubah pendiriannya tentang PDA.

Setiausahanya, George Lam mendakwa SUPP pada mulanya menolak PDA malah mengisytiharkannya tidak sah, tetapi kemudian mengiktirafnya dengan mengesahkan kewujudan kedua-dua PDA dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

“Ini keterlaluan bagi rakyat Sarawak. Dengan berbuat demikian, Sarawak kehilangan kuasa tawar-menawarnya dan tidak dapat mencapai kemajuan dalam menuntut semula kuasanya yang sah,” kata Lam, lapor Borneo Post.

Katanya lagi, beliau berpandangan bahawa serangan pemimpin SUPP terhadap DAP ialah percubaan ‘mengelirukan orang ramai dan mengelak akauntabiliti’.

Bulan lepas, Chong menuduh kerajaan negeri menyerahkan semula hak petroleumnya kepada kerajaan persekutuan, selepas Dewan Rakyat diberitahu bahawa Sarawak telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang yang mentadbir industri petroleum Malaysia.

Chong berhujah, penggubalan undang-undang itu pada 1974 ialah kekalahan pertama Sarawak dalam memperjuangkan hak minyak dan gasnya.

Menurut Sarawak, ia mengekalkan haknya untuk mengeksploitasi rizab petroleumnya bawah OMO, yang mengatasi PDA. Negeri itu juga mengenakan cukai jualan negeri terhadap Petronas.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo