NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persatuan gesa tangguh kenaikan fi lesen ke atas hotel di KK




PETALING JAYA
Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) gesa pihak berkuasa menangguhkan kenaikan ‘mendadak dan melampau’ fi lesen ke atas hotel dan rumah lojing (penginapan sementara) di Kota Kinabalu, sebelum ia menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki terhadap industri perhotelan, dakwanya.

Dalam gesaannya kepada kerajaan Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Presiden Sri Ganesh Michiel, menyifatkan kenaikan kos yang tidak munasabah dan tidak mampan itu akan menyebabkan banyak hotel di Kota Kinabalu terpaksa gulung tikar, dan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan.

“Selama beberapa dekad, hotel di Kota Kinabalu telah membayar fi lesen yang berpatutan sebanyak RM10 setiap bilik setahun, seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri pada 1989.

“Namun, keputusan terbaru untuk kembali kepada kadar lesen 1966, berjumlah antara RM40 hingga RM140 setiap bilik sebulan mengikut klasifikasi dan kadar penghunian hotel telah menambahkan beban kewangan yang tidak tertanggung kepada pengusaha hotel,” menurut kenyataan.

Beliau mengambil sebuah hotel dengan 100 bilik yang diklasifikasikan sebagai hotel kelas kedua, dengan kadar penghunian 60%, akan perlu membayar fi RM57,600 setahun berbanding kadar asal RM1,000 setahun.

Tangani segera

Sementara itu, Sri Ganesh mengkritik kurangnya penguatkuasaan terhadap penginapan sewa jangka pendek (STRA), yang beroperasi secara tidak berlesen melalui platform dalam talian.

“Hotel dikenakan peraturan ketat, termasuk keperluan lesen, pembayaran cukai, serta pematuhan terhadap peraturan kesihatan dan keselamatan.

“Sebaliknya, pengusaha STRA bebas beroperasi tanpa sebarang penguatkuasaan atau cukai, walaupun mereka secara langsung bersaing dengan hotel dan mendapat manfaat daripada pasaran pelancongan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Sri Ganesh berkata isu ini akan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan Kota Kinabalu sekiranya tidak ditangani segera.

“Pelabur tidak akan berminat untuk melabur seperti pembinaan hotel baru akibat keadaan perniagaan yang tidak kondusif, dan hotel yang merupakan elemen penting dalam menarik pelancong domestik dan antarabangsa akan terus terjejas,” katanya.



Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo