NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mansuh subsidi gula demi kurang diabetes, badan pemikir beritahu kerajaan

CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata rakyat akan mengambil lebih banyak gula dengan adanya subsidi untuk gula. (Gambar Bernama)



PETALING JAYA: Mengeluarkan gula daripada diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 mampu mengurangkan diabetes dalam kalangan rakyat berbanding memperkenalkan sistem penggredan untuk kandungan gula, kata Azrul Khalib.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial itu berkata, subsidi gula hanya menyebabkan rakyat mengambil lebih banyak gula, yang bertentangan “perang terhadap gula”.

“Harga gula kini kekal rendah dan di bawah harga siling disebabkan pemberian insentif oleh kerajaan kepada industri gula menyebabkan harga gula di Malaysia, yang bukan negara pengeluar gula, antara terendah di dunia,” katanya dalam kenyataan.

“Tidak masuk akal untuk memerangi penggunaan gula dan memberi subsidi pada masa sama. Dengan diabetes menelan kos lebih RM3 bilion setahun dan penyakit kardio-renal-metabolik lain seperti penyakit buah pinggang, kita tidak mampu mencapai separuh daripada langkah itu pun.”

Beliau berkata demikian susulan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, yang menurutnya mengesahkan negara sedang berdepan krisis penyakit tidak berjangkit (NCD).

Azrul mendapati Malaysia kini mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara tertinggi di dunia.

“Dijangka tujuh juta individu berumur 18 tahun ke atas di Malaysia sama ada menghidap kencing manis atau pradiabetes menjelang tahun depan. Ramai daripada mereka tidak didiagnos dan tidak tahu status sendiri.”

Beliau turut menyentuh kontroversi cadangan melarang kedai makan 24 jam baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan boleh mempertimbangkan surcaj 10% dikenakan ke atas semua makanan dan minuman dijual premis makanan berlesen antara 12 pagi hingga 6 pagi, jika tidak mahu melaksanakan larangan itu.

Katanya, dana dikumpul itu boleh disalur dan diperuntukkan untuk rawatan NCD, termasuk diabetes, penyakit kardiovaskular, buah pinggang, darah tinggi dan kanser.

“Jumlah yang dikutip daripada surcaj itu boleh melebihi RM5 bilion dalam cukai yang dikutip daripada rokok dan alkohol. Ia juga akan membantu menghalang amalan makan lewat malam sambil menambah dana yang diperlukan untuk merawat NCD.”

Azrul turut menggesa kerajaan meningkatkan duti eksais sedia ada ke atas rokok dan produk tembakau serta mengehadkan kepekatan nikotin dalam produk vape kepada 2%.

Beliau berkata, menaikkan kadar cukai eksais kepada RM0.77 untuk sebatang rokok atau 61% cukai eksais daripada harga runcit, akan menjana hasil cukai tambahan sebanyak RM771.8 juta.

“Menyedihkan apabila Malaysia membelanjakan anggaran RM16 bilion setahun untuk merawat penyakit berkaitan merokok seperti penyakit kardiovaskular dan kanser paru-paru.

“Bagaimana kita hendak terus membayar untuk rawatan penyakit kronik ini yang akan berterusan selama bertahun-tahun dan menelan belanja berbilion-bilion?” katanya sambil menambah mengehadkan kepekatan nikotin dalam produk vape kepada 2% juga selaras negara lain yang mengawal selia produk itu.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo