NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid, Tengku Zafrul atau Saifuddin tipu, soal Isham berkait tahanan rumah Najib

Isham Jalil berkata pendedahan Zahid Hamidi menimbulkan persoalan terdapat ‘pihak yang menipu’ memandangkan Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mengatakan tidak mempunyai maklumat berhubung perintah tambahan Najib Razak.


PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberikan penjelasan susulan pendedahan Presiden Umno Zahid Hamidi berkaitan tahanan rumah Najib Razak.

Katanya, pendedahan timbalan perdana menteri menimbulkan persoalan terdapat “pihak yang menipu” berkaitan isu itu memandangkan Saifuddin sebelum ini mengatakan tidak mempunyai maklumat berhubung kewujudan perintah tambahan tersebut.

“Oleh itu siapa yang menipu Najib ini? Zahid menipu, (Tengku) Zafrul (Aziz) menipu atau Saifuddin menipu?

“Kalau berdasarkan kenyataan Zahid dan jika apa yang Zahid dan Zafrul cakap itu betul, ia memberi gambaran yang mereka kata Saifuddin dan kerajaan yang menipu dan sorok surat tahanan di rumah Najib itu,” katanya di Facebook.

Isham berkata demikian sebagai respons kepada afidavit difailkan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu yang menyokong dakwaan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan untuk beliau menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Zahid mendakwa, beliau dimaklumkan perkara itu oleh Tengku Zafrul, yang merupakan menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam pertemuan di kediamannya pada 30 Jan lalu.

Malah, katanya Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut maklum kewujudan perintah itu.

Katanya, Tengku Zafrul turut memaklumkan perintah itu bertarikh 29 Jan 2024.

“Zahid kata Zafrul kata Agong dahulu ada beri surat tahanan di rumah untuk Najib. Zahid kata Wan Rosdy pun nampak surat ini. Sebelum ini menteri dalam negeri (Saifuddin) kata dia tidak tahu menahu pun berkenaan surat itu.

“Zahid, kenapa selepas dua bulan lebih baru buat kenyataan berkenaan hal ini? Sepatutnya dua bulan lepas kamu sudah buat kenyataan ini jika kamu benar-benar mahu bantu Najib. Kini sudah terciduk baru mengaku?” soal Isham.

“Dan Saifuddin, sila komen jika Zahid dan Zafrul menipu atau kamu yang menipu.”

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri tidak membincangkan pembabitan Zahid sebagai “saksi kritikal” yang mengikrarkan afidavit menyokong permohonan Najib berkaitan kewujudan perintah tambahan.

“Tidak dibincangkan hari ini (dalam mesyuarat Jemaah Menteri),” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi.

Beliau juga memaklumkan, kerajaan tidak membincangkan mengenai perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu untuk membenarkan bekas perdana menteri menjalani baki hukuman bawah tahanan rumah.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 5 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan Najib meneruskan usahanya bagi memaksa kerajaan mendedahkan perintah tambahan yang didakwa daripada Agong terdahulu.

Bekas Ahli Parlimen Pekan memfailkan permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Perintah tambahan itu supaya beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Pada 2 Feb Najib diberikan pengurangan hukuman oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjadikan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Pada 4 Mac Saifuddin berkata program pelepasan banduan secara berlesen (PBSL) menerusi tahanan di rumah tiada kena mengena dengan usaha membebaskan Najib.


Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo