NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKR beri jaminan kolam selam tempur siap Jun ini

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, beliau akan menghadap Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu kelewatan projek pembinaan kolam selam tempur itu. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor yang mengalami kelewatan siap sepenuhnya Jun ini.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, beliau dimaklumkan pegawai KKR berhubung perkara itu dan setakat ini, projek terbabit berbaki 2% belum siap seperti dinyatakan Kementerian Pertahanan.

“Di peringkat KKR menerima baik pesanan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai kelewatan projek itu) untuk melawat dan melihat keadaan di sana,” katanya selepas Sesi Libat Urus Menteri Kerja Raya Bersama Warga Industri Lebuh Raya di Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurut Nanta, beliau akan menghadap Sultan Ibrahim dalam masa terdekat bagi menjelaskan isu kelewatan projek pembinaan kolam selam tempur itu dan siasatan terperinci mengenainya masih dijalankan untuk memberi keadilan kepada semua pihak terlibat.

Isnin lalu, Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur itu memberi penjelasan berhubung punca kelewatan.

Seri Paduka Baginda yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah kolam itu yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan, selain papan tanda projek dirobohkan.

Dalam perkembangan lain, Nanta berkata, KKR menerima baik cadangan pembinaan jajaran lebuh raya baharu menghubungkan Tanjung Malim ke Lumut untuk menangani kesesakan jalan raya.

“Kita faham kawasan itu ada keperluannya, malah dalam mesyuarat Kabinet (pagi tadi) pun dibincangkan keperluannya (untuk membina lebuh raya antara Tanjung Malim ke Lumut),” katanya sambil menambah cadangan projek itu masih di peringkat perbincangan.

Semalam, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan berkata, pembinaan lebuh raya itu perlu susulan projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi di Tanjung Malim akan mula beroperasi bagi memudahkan perkhidmatan logistik dieksport melalui Bandar Perindustrian Maritim Lumut.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo