NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada kesan mendapan tanah akibat bina telaga tiub, kata exco Kelantan

Exco Kelantan, Izani Husin menyifatkan dakwaan mendapan tanah akan berlaku di Kelantan akibat pembinaan telaga tiub palsu dan tidak benar. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Tiada impak negatif dikesan daripada pembinaan telaga tiub di Kelantan, termasuk kejadian mendapan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Izani Husin berkata, penemuan itu berdasarkan beberapa kajian berkaitan kualiti air oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Daripada segi teorinya, ia boleh berlaku, tetapi setakat ini tiada impak negatif dikesan dan kita dalam kajian menentukan sumber air mana lebih efektif untuk digunakan, termasuk memanfaatkan air di permukaan seperti sungai.

“Ini kerana sumber air bawah tanah di Kelantan mengandungi pelbagai bahan, termasuk magnesium yang memerlukan kos tinggi rawatan air,” katanya menurut Bernama selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu.

Beliau turut menyifatkan dakwaan mendapan tanah akan berlaku di Kelantan akibat pembinaan telaga tiub palsu dan tidak benar.

Izani berkata, terdapat 42 telaga tiub di seluruh Kelantan ketika ini dan mungkin ada keperluan membina telaga tiub di kawasan sempadan jika bekalan air AKSB tidak sampai ke sana disebabkan beberapa masalah, termasuk paip lama bocor.

“Kita telah membawa perkara ini kepada perhatian perdana menteri bagi membantu kerajaan negeri menukar paip lama sepanjang kira-kira 1,000km daripada keseluruhan 5,000km paip yang memerlukan kos tinggi.”

Semalam, Angkatan Belia Islam Kelantan bimbang dengan penggalian telaga tiub di negeri itu yang dikhuatiri boleh mengundang risiko mendapan tanah.


Sumber | FMT Malaysia 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo