NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kuala Kubu Baharu: Urimai akan gesa pengundi India tak undi calon PH

Pengasas Urimai P Ramasamy berkata, tugas utama partinya adalah memberikan ‘pengajaran yang menyakitkan kepada kerajaan Madani pimpinan PH’.


PETALING JAYA: Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) akan menasihati pengundi agar tidak menyokong calon DAP Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan, ekoran rasa tidak puas hati atas layanan kerajaan perpaduan terhadap masyarakat India.

Pengasas parti kaum India itu, P Ramasamy berkata, parti itu tidak menyekat pengundi terbabit dalam amalan demokrasi.

“Urimai tidak percayakan (amalan) meminta pengundi mengelak daripada melaksanakan hak demokrasi mereka. Bagaimanapun, (kami) akan meminta pengundi, khususnya kaum India, supaya tidak mengundi calon PH-DAP,” katanya dalam kenyataan.

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata, pengundi boleh membuat keputusan tanpa pengaruh memandangkan Urimai tidak mempunyai hubungan rasmi mahupun tidak rasmi dengan pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

“Jika pengundi memilih calon PN, terpulang kepada mereka untuk mengundi calon itu,” katanya.

“Tugas utama Urimai adalah untuk memberikan pengajaran yang menyakitkan kepada kerajaan Madani pimpinan PH.”

Semalam, FMT melaporkan Adun DAP Banting V Papparaidu mendakwa kumpulan tertentu turun padang di Kuala Kubu Baharu untuk menggesa pengundi India memboikot PRK pada 11 Mei ini.

Papparaidu berkata, beliau dimaklumkan kumpulan itu pergi rumah ke rumah di kawasan itu dan mendakwa mereka mesra pembangkang.

Mendakwa “pemimpin India tertentu” turut terbabit, beliau menggesa mereka menghentikan tindakan “tidak boleh diterima” itu.

Pengundi DUN Kuala Kubu Baharu di Selangor terdiri daripada 46% pengundi Melayu, 30% Cina dan 18% pengundi India.

Kerusi itu diwakili oleh Adun berbangsa Cina sejak 2004. Sejak tiga penggal lepas, kerusi itu dipegang oleh Adun DAP, Lee Kee Hiong yang meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser.

Ramasamy, yang sebelum ini berkata sokongan kaum India akan diuji pada PRK itu, menggesa pengundi India agar menegaskan pengaruh politik mereka dan menuntut layanan yang lebih baik daripada kerajaan.

Katanya, kekecewaan semakin meningkat dalam kalangan pengundi India susulan janji yang tidak ditepati dan penghinaan yang dirasakan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut berpendapat, keputusan PRK itu akan memberikan gambaran tentang potensi cara kaum India mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Tiada kerajaan atau gabungan politik yang boleh mengambil mudah kaum India berdasarkan kelemahan mereka dari segi angka mahupun asas ekonomi.

“Setiap orang ada harinya. Kaum India harus bangkit dan ‘ajar’ kerajaan Madani,” katanya.



Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo