Rakyat Sudan berjalan di sepanjang di selatan Khartoum ketika pertempuran antara puak yang berperang terus berlanjutan walaupun perjanjian gencatan senjata selama seminggu yang diusahakan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian. - Foto AFP
Rakyat Sudan berjalan di sepanjang di selatan Khartoum ketika pertempuran antara puak yang berperang terus berlanjutan walaupun perjanjian gencatan senjata selama seminggu yang diusahakan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian. - Foto AFP

KHARTOUM: Pertempuran antara puak yang berperang di Sudan terus berlanjutan hari ini walaupun perjanjian gencatan senjata selama seminggu yang diusahakan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian.

Perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani tentera Sudan dan pasukan separa tentera (RSF) selepas rundingan di bandar Jeddah, akan berkuat kuasa pada petang esok dengan mekanisme pemantauan yang disokong antarabangsa.

Pengumuman gencatan senjata yang berulang sejak konflik bermula pada 15 April lalu gagal menghentikan pertempuran, tetapi perjanjian Jeddah menandakan kali pertama kedua-dua pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata selepas rundingan.

Penganalisis berkata, adalah tidak jelas sama ada ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan atau komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo, dikenali sebagai Hemedti, mampu melaksanakan gencatan senjata di lapangan.

Ini kerana, kedua-duanya sebelum ini menyatakan mereka sedang mencari kemenangan dalam perang dan tidak seorang pun daripada mereka pergi ke Jeddah.

Perang itu menyaksikan 1.1 juta orang meninggalkan rumah, berpindah sama ada di dalam Sudan atau ke negara jiran hingga mencetuskan krisis kemanusiaan yang mengancam kestabilan rantau itu.

Seorang penduduk Khartoum, Safaa Ibrahim, berkata dia berharap perjanjian itu dapat menamatkan konflik.

"Kami mahu kembali ke kehidupan normal dan selamat. Al-Burhan dan Hemedti perlu menghormati keinginan manusia untuk hidup," katanya. - REUTERS