Dari kanan, Rayer, Shahidan dan Awang diperintahkan keluar selama sejam selepas cetuskan ketegangan dalam dewan.
Dari kanan, Rayer, Shahidan dan Awang diperintahkan keluar selama sejam selepas cetuskan ketegangan dalam dewan.

KUALA LUMPUR: Perbezaan pemahaman berhubung istilah bohong mencetuskan suasana tegang di Dewan Rakyat, menyebabkan tiga Ahli Parlimen diarah keluar dari dewan, sekurang-kurangnya selama sejam.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Pertikaman lidah itu tercetus apabila Awang mendakwa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berbohong mengenai keluasan tanah rizab di Kedah.

Ia mengakibatkan ramai Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mencelah bagi menerangkan maksud sebenar istilah bohong, termasuk mengetengahkan makna dinyatakan dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Awang ketika membangkitkan perihal itu, meminta Nik Nazmi membangkitkan menyatakan isu berpandukan fakta yang tepat.

"Menteri (Nik Nazmi) kalau tiada maklumat (keluasan tanah rizab di Kedah) jangan bercakap... jangan bohong dalam dewan ini.

"Menteri Kewangan bagi peruntukan supaya Pengarah Tanah dan Galian (PTG) di setiap negeri dapat semak balik keluasan tanah rizab Melayu.

"Jadi menteri tak reti bercakap, macam inilah...mengelirukan dewan, tarik balik dan mohon maaf kata kerajaan Kedah paling banyak hilang 'Malay reserve', janganlah duk cungkil (kalau) tak suka pun," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2023.

Kenyataan itu menyebabkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencelah dengan menggesa Awang menarik balik kenyataan mendakwa menteri berbohong.

Awang yang tidak bersetuju dengan gesaan itu, mempertahankan kenyataannya menyifatkan Nik Nazmi berbohong apabila mengemukakan fakta tidak tepat.

"Bohonglah itu (kenyataan Nik Nazmi), takkan tak betul nak kata betul..apalah Bagan (Guan Eng).

"Patut 'you all' (kamu semua) bahasa Melayu kena faham sikit, saya ada fakta sebenar dikeluarkan PTG Kedah," katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kemudian meminta Awang menarik balik perkataan 'bohong', selain mengarahkan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu keluar dari dewan jika enggan berbuat demikian.

"Mahu tarik balik atau tidak? (Jika tidak) jadi minta keluarlah. Saya sudah ruling (arah), tarik balik. Sila keluar sekejap," katanya.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang kurang bersetuju dengan arahan itu kemudian mencelah, memberikan takrifan bohong seperti dinyatakan kamus DBP iaitu 'bohong bermaksud berlainan daripada sebenarnya.'

Alice bagaimanapun mempertahankan tindakannya, selain menyifatkan penggunaan perkataan bohong sebagai sangkaan jahat, selari Peraturan 36(6) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Kalau tidak betul, kata tidak betul atau silap. Kalau kata bohong, itu sangkaan jahat, tarik balik sajalah," katanya.

Menjawab persoalan Alice itu, Awang bagaimanapun mendakwa Nik Nazmi mempunyai sangkaan jahat terhadap Kerajaan Kedah.

Alice kemudian bertanya, bagaimana Awang mampu membuktikan Nik Nazmi mempunyai niat jahat terhadap Kerajaan Kedah.

"Kalau fakta tidak betul, kata silap dan tidak betul, sila suruh dia (menteri) rujuk balik kepada fakta, tidak boleh kata dia bohong dalam dewan.

"Bagaimana Pendang (Awang) dapat tunjukkan ada niat jahat? Kalau Pendang tak mahu tarik balik, saya persilakan keluar.

"Saya rujuk Peraturan Mesyuarat 36(6) seseorang tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain. Jadi perkataan bohong ini sangkaan jahat, tidak betul, kata tidak betul. Saya sudah buat 'ruling', Peraturan Mesyuarat 43, keputusan pengerusi adalah muktamad," katanya.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen kemudian menggesa Alice merujuk takrifan bohong seperti dinyatakan dalam kamus DBP, menyebabkan beliau meninggikan suara.

"Sila rujuk Peraturan Mesyuarat dulu kalau mahu saya rujuk kamus DBP. Ini Parlimen, Dewan Rakyat…saya minta Pendang keluar sekurang-kurangnya sejam," katanya.

Shahidan yang masih tidak bersetuju dengan perintah itu, mencelah mempertahankan Awang, menjelaskan kenyataan Ahli Parlimen Pendang itu bukan sangkaan jahat, sebaliknya berpandukan statistik dikeluarkan PTG Kedah.

Keadaan itu mengakibatkan dewan gamat seketika, selain Shahidan didakwa melabel Guan Eng sebagai penyamun, menyebabkan Rayer bangun menggesa Ahli Parlimen Arau itu menarik balik kenyataannya.

Alice yang berang kemudian mengarahkan Shahidan dan Rayer, keluar dari dewan, selain menyifatkan pertikaman lidah hampir 15 minit itu membazirkan masa persidangan Dewan Rakyat yang dijadual tamat esok.

- Bharian