Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) dan Datuk Seri Hajiji Noor
Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) dan Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU: UMNO Sabah kekal dengan pendirian menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagaimana diputuskan pada Januari lalu.

Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai menjawab dakwaan bahawa pihaknya menyokong semula kerajaan pimpinan Hajiji berdasarkan pembabitan beberapa pemimpin UMNO dalam barisan Kabinet negeri.

Beliau sekali gus menafikan UMNO Sabah kembali menyokong kerajaan GRS seperti dakwaan dalam laporan sebuah saluran televisyen.

Dalam satu kenyataan, hari ini, Ahli Parlimen Kinabatangan itu mengaku Barisan Nasional (BN) Pusat pernah mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan GRS pimpinan Hajiji berdasarkan ketetapan pada peringkat persekutuan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, beliau berkata hingga kini, tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah selepas perbincangan berkaitan dilakukan.

antara UMNO BN diwakili bekas Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.

"Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa BN memberikan sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Hajiji dengan mengambil kira ketetapan pada peringkat persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Perbincangan sudah dilakukan Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya dan di Sabah, kita diwakili oleh bekas Timbalan Ketua UMNO negeri, Datuk Yakub Khan.

"Bagaimanapun hingga hari ini, tiada resolusi yang dicapai, malah pemecatan pegawai lantikan politik dari UMNO terus dilakukan. Jadi, apakah ini yang dimaksudkan Kerajaan Perpaduan?" dakwanya.

Bung Moktar memaklumkan sebelum ini, beliau telah menjelaskan mengenai kekeliruan orang ramai, khususnya ahli UMNO, berikutan ada pemimpin parti itu yang masih berada dalam kerajaan GRS kini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemimpin terbabit tidak membuat sokongan secara terbuka mahupun menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Hajiji, berbanding beberapa pemimpin lain yang dipecat daripada UMNO.

"Pemimpin itu dipecat UMNO kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangani SD, malah sudahpun mengisytiharkan keluar UMNO," katanya.

Ketika ini, beberapa pemimpin UMNO dilantik sebagai Pembantu Menteri dalam barisan Kabinet baharu kerajaan GRS.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Mohd Suryady Bandy sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah; ADUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi (Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); dan ADUN Sungai Sibuga, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain (Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan).

ADUN yang dipecat UMNO selepas mengumumkan keluar parti, baru-baru ini pula ialah Datuk James Ratib (Sugud), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Bung Moktar berkata, beliau tidak dapat memberi komen mengenai siapa yang dilantik atau dipecat oleh Ketua Menteri dalam Kabinet negeri.

"Begitu juga lantikan politik kerana ia adalah hak Ketua Menteri, siapa yang beliau mahu lantik dan pecat. Bagaimanapun, tindakan ini tidak melambangkan konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenar.

"Justeru, bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaannya. Inilah persoalan yang timbul sekarang, iaitu bagaimana kita boleh melestarikan konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah jika kita suka, lantik dan tidak suka, pecat," katanya.