NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Singapura bukan semuanya "Syurga". Bahagian satu - Kebimbangan rakyat.

SINGAPURA BUKAN SEMUANYA "SYURGA".
BAHAGIAN SATU - KEBIMBANGAN RAKYAT.

Pengumuman Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tentang "langkah kerajaan membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan / Housing Development Board ( HDB ) bagi berkongsi kepakaran dalam sektor pembinaan perumahan di negara ini"( 1 ) awal tahun ini telah mengundang pelbagai komen yang menentang cadangan tersebut. Nga dilihat marah dengan sesetengah dari mereka apabila memberi amaran bahawa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat.( 2 )

Walau bagaimanapun terdapat juga komen-komen yang menyokong cadangan itu. Terdapat banyak kejayaan dicapai oleh republik itu di dalam sektor perumahan tetapi di sebalik kejayaan-kejayaan tersebut terdapat juga masalah-masalah lain yang membimbangkan rakyat negara itu. Kita tidak seharusnya melihat kejayaan-kejayaan sahaja tetapi jugs kebimbangan tersebut. Saya tidak tahu sama ada mereka yang memuji HDB tinggi melangit sedar akan kebimbangan itu atau tidak. Jika kita hanya menonton video kempen pilihan raya People Action Party ( PAP ), parti yang memerintah, tidak sedikit cacat cela yang ada pada negara jiran kita itu.

Memang benar republik itu telah berjaya mencapai tahap pemilikan rumah yang tinggi iaitu melebihi 80 peratus. Walau bagaimanapun kerajaan tidak seharusnya menciplak seratus peratus penyelesaian-penyelesaian dari negara itu. Adalah tidak wajar untuk kita membawa masuk pakar-pakar dari HDB untuk berkongsi kepakaran tanpa kita mengetahui dan meneliti sejarah dan latar belakang penyelesaian-penyelesaian tersebut. Terdapat banyak perbezaan di antara Malaysia dan Singapura justeru kesemua itu perlu diambil kira terlebih dahulu. Adalah lebih praktikal bagi kementerian menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji terlebih dahulu formula-formula mereka malah meletakkan pakar-pakar kita di HDB untuk membuat kajian tersebut jika perlu.

Perumahan merupakan topik yang hangat dibahaskan di Parlimen Singapura pada bulan Februari lepas. Ahli-ahli Parlimen telah berbahas selama 12 jam untuk 2 hari dua usul berhubung "affordability" dan "accessibility" flat-flat HDB. Usul-usul tersebut telah dibawa oleh Menteri Pembangunan Nasional, Desmond Lee dari PAP dan Leong Mun Wai, Ahli Parlimen pembangkang ( NCMP ) daripada Progress Singapore Party ( PSP ).( 3 ) Jelas sekali terdapat perbezaan pandangan di antara pemerintah ( PAP ) dan pembangkang ( PSP ). PSP berpandangan polisi perumahan awam negara tersebut memerlukan satu "reset" dan perlu dikaji semula. Pandangan ini turut disokong oleh Ketua Pembangkang, Pritam Singh, daripada Workers Party. Tetapi menurut PSP, pemerintah tidak bersetuju kajian semula ini diperlukan dan PSP menuntut pemerintah menyatakan dengan jelas kenapa perumahan awam di republik itu masih "affordable" dan "accessible".

Menurut Leong di dalam ucapan beliau di Parlimen, pemerintah Singapura tidak yakin rakyat mempercayai polisi perumahan mereka kerana mereka telah menyiarkan iklan-iklan yang meluas di media arus perdana tentang "affordability" flat-flat BTO HDB. Katanya jika flat-flat HDB adalah benar-benar mampu dimiliki, tidak perlu penjelasan tersebut. Flat-flat BTO atau "Built To Order" adalah flat yang dibina berdasarkan permohonan yang diterima. Flat-flat BTO tidak akan dibina selagi tidak terdapat 70 peratus permohonan untuk membelinya. Ini berbeza dari sebelum tahun 2001 di mana kerajaan akan membuat unjuran permintaan. Walau bagaimanapun ia mengambil masa lebih lama untuk pembeli mendapatkan kediaman mereka. Ada pandangan tempoh ini adalah 5 hingga 7 tahun berbanding 18 hingga 24 bulan pada tahun 80an. BTO menggantikan sistem lama iaitu Registration For Flat System ( RFS ).( 4 )

Memandangkan perumahan adalah satu isu yang penting, Perdana Menteri Lee Hsien Loong ( PM Lee ) sendiri telah terpaksa memberi penjelasan pada 8 Februari lepas. PM Lee menerusi posting Facebook beliau telah memberitahu rakyat Singapura tidak perlu bimbang tentang hasrat mereka untuk memiliki kediaman sendiri. Menurut beliau, "...kami meningkatkan bekalan flat, meredakan pasaran jualan semula, dan memastikan flat-flat HDB mampu dimiliki dan boleh diakses oleh pelbagai rakyat Singapura. Kami bekerja keras dalam masalah itu, dan yakin kami akan menyelesaikannya."( 5 ) Beliau mengakui terdapat kebimbangan rakyat terhadap masa menunggu untuk flat-flat BTO dan kenaikan harga jualan semula ( resale ).

Menyediakan perumahan yang sempurna bukan sekadar menyediakan rekabentuk terkini atau menguji model bangunan yang bakal dibina di dalam "wind tunnel". Ia melibatkan 1,001 perkara lain. Walaupun Singapura pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia namun kita mempunyai sejarah tempatan yang berbeza. Sejarah tempatan ini amat penting di dalam merancang polisi perumahan. Kita boleh belajar dari Singapura tetapi kita perlu selektif dengan mengambil kira masalah dan aspirasi yang unik kepada negara kita. Ketika Exco Perumahan Negeri Selangor dari 2008 hingga 2018, kami memang banyak menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan republik tersebut. Sama ada dengan HDB atau ketika bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) dengan Surbana Corporation milik GLC Temasek. Malah kita perlu berhati-hati hari ini memandangkan beberapa kegusaran yang telah timbul di kalangan rakyat terhadap "affordability" dan "accessibility" yang sebelum ini merupakan kebanggaan mereka.

Dato' Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
11 April 2023

( 1 ) Berita Harian, Kuala Lumpur, 23 Februari 2023.
( 2 ) Sinar Harian, Shah Alam, 26 Januari 2023.
( 3 ) Singapore Straits Times, 8 Februari 2023.
( 4 ) PSP Housing Debate : Concrete Solutions to Singapore’s Public Housing Problem, Leong Mun Wai, Singapore, 6 Februari 2023.
( 5 ) Facebook Lee Hsien Loong, 8 Februari 2023.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo