Salahuddin di gerai kuih apam balik pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Sembilan, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Salahuddin di gerai kuih apam balik pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Sembilan, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM

SEREMBAN: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertukaran kerusi melalui perundingan langkah strategik dalam usaha Kerajaan Perpaduan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, tidak lama lagi.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagaimanapun menjelaskan, perkara itu tetap bergantung pada perbincangan dalam kalangan parti gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN kali ini.

"Berkaitan pembahagian kerusi, kita telah mengadakan perundingan bersama BN... ada Majlis Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Asas kepada pembahagian kerusi itu ialah secara umum, kerusi yang telah dimenangi parti-parti bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), biasanya kita tidak sentuh.

"Namun, ia terbuka kepada perbincangan. Kita berkemungkinan tidak boleh mengelak jika berlaku pertukaran kerusi dalam kalangan ahli gabungan pada PRN nanti, iaitu sebagaimana biasa dalam mana-mana perbincangan berkaitan pembahagian kerusi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Sembilan di Bazar Ramadan Bandar Prima Senawang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof, serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Salahuddin mengulas laporan media baru-baru ini bahawa PH, khususnya di Selangor berkemungkinan akan 'berkorban' dengan menyerahkan sekurang-kurang lima kerusi 'selamat' kepada BN pada PRN kali ini, sebagai langkah strategik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, PH Selangor semalam dilapor menafikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasainya akan 'dikorbankan' untuk memberi laluan kepada calon BN pada PRN nanti.

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman, dipetik berkata perkara itu tiada dibincangkan pihaknya bersama BN dalam rundingan berkaitan agihan kerusi terbabit.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi masih terbuka dan berjalan dengan baik.

"Namun, keputusannya dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Bagi Negeri Sembilan, AMANAH juga sedang dalam proses mengadakan rundingan.

Sabtu lalu, media melaporkan PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14, dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dipetik memaklumkan kata sepakat itu dicapai melalui perbincangan awal baru-baru ini mengenai pembahagian kerusi untuk PH dan BN dalam menghadapi PRN akan datang.

-Bharian