Tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa memperoleh dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menurunkan atau memadam hantaran program ‘Ziarah Gereja’ kepada orang bukan Kristian, mencetuskan kebimbangan baharu.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata tindakan NGO terbabit menurunkan iklan program berkenaan di laman Facebook rasminya, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Menurutnya program berkenaan sepatutnya dipantau kerana dikatakan mendapat peruntukan KBS dan perlu selari dengan aspirasi kerajaan, selain perlu mendapatkan kerjasama agamawan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Program ini bukanlah tidak baik dari sudut asasnya, tetapi memerlukan penyertaan daripada golongan agamawan seperti kerjasama dengan JAKIM.

“Ini kerana ada isu, kalau kita bawa khususnya belia beragama Islam ke gereja, walaupun tujuan asalnya adalah untuk mengenali antara agama satu sama lain,” katanya ketika membahas Bajet 2023 peringkat jawatankuasa KBS di Dewan Rakyat, hari ini (14 Mac 2023).

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS dan PN berkata, perkara ini mencetuskan kebimbangan dan berdasarkan maklumat dalam Facebook rasmi NGO terbabit, mengiklankan program ke gereja pada 18 Mac (Sabtu ini), tetapi kemudian diturunkan.

“Ini bermakna ada satu benda yang mungkin tidak sesuai atau tidak kena pada pandangan masyarakat dan sebagainya.

“Walaupun mungkin KBS tidak mempunyai kaitan secara langsung, tetapi kerana dana ini ada dari KBS untuk NGO seperti ini.

“Walaupun mungkin dijawab pula ada program ziarah ke masjid dan sebagainya, tetapi ia tidak boleh disamakan dan tidak boleh dibandingkan ‘epal’ dan ‘oren’,” katanya.

Isu berkaitan ‘Ziarah Gereja’ itu dibangkitkan Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebooknya semalam, yang mempersoalkan sama ada Kristian Evangelist sudah mula melakukan gerak kerja apabila bakal mengadakan program itu.

Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (DAP-Segambut) menyangkal dakwaan sebuah agensi di bawah kelolaannya, Impact Malaysia telah menjadi ‘Kristian Evengelist’, sebelum Setiausaha Politik KBS, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Bagaimanapun, Badrul Hisham dalam kenyataan hari ini membidas sikap membisu menteri dan wakil rakyat beragama Islam yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berhubung program itu.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Hannah yang menuduh ulasan beliau sebagai fitnah.