NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rumah P Ramlee dan Saloma di Singapura

Setelah beberapa bulan bernikah dengan Saloma pada 31 Oktober 1961, P.Ramlee berpindah ke sebuah rumah teres 4 bilik yang disewakan oleh Shaw Brothers beralamat di No.28 Cedar Avenue. Rumah ini terletak lebih kurang setengah jam dari Jalan Ampas. Menurut Nasir, mereka sekeluarga beserta pembantu rumah 'Ngah' dan Ramli Kechik tinggal bersama didalam rumah ini. 

Nasir yang ketika itu berumur 11 tahun menyingkap kenangan rumah yang didiami selama 3 tahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan.

"....setelah bertahun-tahun kami berada di Singapura, bapa memberitahu kami akan berpindah ke Kuala Lumpur. Saya dilahirkan di Singapura, maka ini tempat baru bagi saya. "

(19 April 1964)

Sejak jam 11 pagi hingga petang, P.Ramlee dan Saloma  bersiap-siap untuk berangkat ke Studio Merdeka Kuala Lumpur. Mereka tidak membawa sebarang perkakas rumah kerana di Kuala Lumpur telah lengkap segalanya. Jadi, barang-barang yang ada di rumahnya seperti perabot dan lain-lain telah dijual. Selain keluarga P.Ramlee dan Saloma, turut berangkat ialah Encik Kamsani dan isterinya Musalmah serta anak-anak P.Ramlee – Nasir, Norma, Betty dan Sazali.

"...tepat jam 2 petang, kami pun berangkat dengan kereta dipandu bapa, meninggalkan rumah kesayangan kami, kerana di rumah itulah kami dibesarkan, bersekolah dihadapan rumah. Bapa sedih, sebelum menaiki kereta, dia memandang sekeliling rumah dan berpesan kepada Kak Joyah ; jaga rumah pakcik nih".

Bermula perjalanan P.Ramlee dan keluarganya bertolak menaiki kereta menuju ke Kuala Lumpur. 

Teks: Mimin 

Sumber: 
Bapaku P.Ramlee - Tulisan Nasir P.Ramlee
Pustaka Peringatan P.Ramlee

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo