NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Hobi’ kumpul rangka kucing satu jenayah berat

Berpuluh rangka, cebisan organ kucing ditemui di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.


ISU penderaan terhadap kucing bukanlah satu perkara baharu, namun baru-baru ini negara dikejutkan dengan penemuan tulang dan organ haiwan berkenaan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Penemuan yang menyayat hati itu telah membongkar sifat kezaliman manusia terhadap makhluk berbulu tersebut.

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu juga telah tular di media sosial dan rata-rata mereka menyifatkan perbuatan kejam tersebut hanya dilakukan oleh individu psikopat.

Bukan itu sahaja, ada yang beranggapan individu terbabit mempunyai masalah mental kerana ‘hobi’ mengumpul rangka kucing sehingga menyediakan satu ruangan khas untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Masakan tidak, rangka yang ditemukan itu bukan melibatkan satu atau dua ekor kucing sahaja tetapi puluhan dan lebih mengejutkan daging haiwan berkenaan turut dikisar.

Perilaku tersebut benar-benar di luar jangka kerana jiran tetangga mengatakan bahawa suspek merupakan seorang yang begitu menyayangi kucing.

Sekiranya seseorang itu menjadikan alasan untuk melakukan perbuatan kejam kerana tidak menyukai kucing adalah satu jawapan yang sungguh tidak berasas.

Mereka perlu tahu tidak suka dan bertindak zalim adalah dua perkara yang berbeza.

Andai kata seseorang itu memaklumkan bahawa mereka kurang gemar terhadap kucing, cukup sekadar tidak memberi perhatian sekiranya didekati.

Merujuk kepada laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat kisah wanita dengan seekor anjing dan ia merupakan kisah benar yang disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu mencedok air dengan kasutnya lalu memberi anjing minum maka telah diampunkan dosanya”. (Riwayat Muslim)

Bukan itu sahaja, laman berkenaan turut menyertakan hadis mengenai empati terhadap haiwan yang ingin disembelih.

Jelasnya, jika ingin melakukan penyembelihan, kita disunatkan mengasah pisau yang mahu digunakan supaya haiwan tersebut tidak merasa sakit.

Berdasarkan kedua-dua hadis tersebut, Islam mengajarkan umatnya untuk berbuat baik kepada kesemua makhluk termasuklah haiwan dan tumbuhan.

Penulis yakin bahawa semua agama menuntut kita untuk mengasihi binatang selagi ia tidak mengancam nyawa.

Justeru, penulis ingin menegaskan selain daripada tuntutan agama, kekejaman terhadap binatang perlu dihentikan kerana negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan dihormati.

Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015, merupakan akta yang menjaga hak binatang dan sekiranya seseorang didapati bersalah mendera haiwan termasuklah kucing boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan didenda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, orang ramai perlu menjadikan kes-kes penderaan haiwan terdahulu sebagai satu pengajaran yang mana pihak berkuasa di Malaysia tidak ambil mudah terhadap jenayah berkenaan.

Sebagai contoh, seorang pekerja kontrak telah dijatuhi hukuman penjara selama 34 bulan dan denda sebanyak RM40,000 kerana memasukkan kucing ke dalam mesin pengering di sebuah dobi sehingga mati pada 11 September 2018.

Walaupun kucing bukanlah makhluk seperti manusia tetapi mereka juga berhak untuk menikmati kehidupan yang aman tanpa sebarang keganasan.

Hal itu kerana, haiwan berbulu itu sepatutnya dibelai dan dimanja bukannya untuk dicederakan sehingga mengakibatkan maut.

Oleh yang demikian, antara solusi yang boleh dilakukan untuk mengelakkan berlakunya penderaan haiwan adalah memperketatkan lagi undang-undang dengan mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu menerapkan rasa cinta terhadap kucing kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Di peringkat sekolah pula, guru-guru boleh menekankan tentang implikasi yang boleh diterima oleh seseorang jika melakukan keganasan terhadap haiwan.

Perasaan gerun perlu ada dalam diri supaya mereka takut untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

*Nor Syamira Liana Nor Ashaha ialah wartawan Sinar Harian




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

( Hide )
  1. Orang belum didapati bersalah , semua dah menjatuhkan hukuman. Siap dengan hadith lagi. Masa nak menjatuhkan hukuman tu tak pula dirujuk al-quran dan sunnah!

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo