Asas ekonomi negara kekal utuh dengan keadaan politik domestik juga bertambah baik. Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Asas ekonomi negara kekal utuh dengan keadaan politik domestik juga bertambah baik. Foto hiasan NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meninjau sumber pendapatan baharu bagi memantapkan kedudukan fiskalnya memandangkan pendapatan kerajaan berada dalam aliran menurun sejak 2012, demikian kata Bank Dunia.

Bank Dunia menjangkakan pendapatan kerajaan berada pada paras 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 berbanding 16.7 peratus yang dijangkakan pada 2022.

Pada 2012, pendapatan kerajaan berada pada paras 21.4 peratus daripada KDNK.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata usaha untuk membina semula penampan fiskal harus didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan kecekapan perbelanjaan yang lebih baik.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah dengan memantapkan cukai kepenggunaan, meluaskan asas cukai pendapatan peribadi dan menyelaraskan pelepasan cukai.

Katanya, Malaysia harus beralih daripada ekonomi kepenggunaan kepada ekonomi diterajui pelaburan yang secara langsung akan meningkatkan gaji pekerja tempatan.

"Sementara itu, peralihan beransur-ansur kepada subsidi yang lebih bersasar akan membantu subsidi berfungsi dengan lebih baik terhadap isi rumah berpendapatan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkininya bertajuk 'Expanding Malaysia's Digital Frontier' di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2023, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda, berkata ekonomi negara ini dijangka berkembang 4.0 peratus tahun ini di tengah-tengah jangkaan permintaan luaran yang perlahan.

Beliau berkata, Malaysia tidak mungkin berdepan kemelesetan tahun ini meskipun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka perlahan.

Katanya, asas ekonomi negara kekal utuh dengan persekitaran pasaran pekerjaan negara yang bertambah baik serta keadaan politik domestik juga bertambah baik.

"Walaupun ekonomi global dijangka perlahan, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan pertumbuhan meskipun dijangka lebih perlahan berbanding pertumbuhan kukuh di luar jangkaan tahun lalu yang dijangka sekitar 8.0 peratus.

"Prestasi kukuh pada 2022 sebahagiannya dipacu oleh pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyumbang kepada penggunaan swasta yang tinggi di Malaysia berbanding negara lain," katanya.