Ketua Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wu Zunyou berkata, pergerakan besar-besaran penduduk di republik itu ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina mungkin meluaskan lagi penyebaran virus.
Situasi itu sekali gus meningkatkan jumlah kes jangkitan di beberapa kawasan, namun Zunyou menjangkakan tiada gelombang kedua berlaku dalam dua hingga tiga bulan akan datang.
“Ini kerana gelombang wabak yang berterusan – kebanyakannya didorong oleh pelbagai cabang kecil daripada strain Omicron – telah menjangkiti 80 peratus penduduk”, katanya seperti dipetik di platform media sosial Weibo.
Kenyataan Wu itu dibuat sususlan ratusan juta rakyat China mengembara ke seluruh negara untuk perayaan selepas Beijing melonggarkan sekatan COVID-19 baru-baru ini.
Dengan jangkaan 5 bilion perjalanan dilakukan pengembara, kebimbangan terhadap penularan wabak kini meningkat khususnya di kawasan luar bandar yang kurang kelengkapan untuk menguruskan pesakit dalam skala besar.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Khamis lalu berkata, China telah melepasi kemuncak pesakit COVID-19 di klinik demam, bilik kecemasan dan wad kritikal.
Hampir 60,000 orang yang dijangkiti COVID-19 telah meninggal dunia di hospital setakat 12 Januari, kira-kira sebulan selepas China secara tiba-tiba mengabaikan dasar sifar wabak itu.
Namun, sesetengah pakar menjangkakan angka itu mungkin tidak tepat kerana ia belum meliputi mereka yang meninggal dunia di rumah atau doktor yang didakwa enggan mengesahkan punca kematian adalah kerana COVID-19.- Agensi
No comments
Post a Comment