Lee bersama Nurul Akma mengaul Yee Sang bersama ahli keluarga semasa meraikan 'makan besar' sempena Tahun Baharu Cina. FOTO GHAZALI KORI

Kuala Terengganu: "Sukar untuk jelaskan perasaan sebenar tetapi saya rasa tenang, lega dan sejuk selepas ucap dua kalimah syahadah," kata Lee Liang Yeou.

Lee yang mengekalkan nama asal selepas memeluk Islam berkata, perkongsian mengenai Islam oleh rakan menyebabkan dia terdetik untuk memeluk agama suci itu sebelum memaklumkan hasratnya menukar agama kepada keluarga.

Katanya, ramai di kalangan rakannya adalah orang Islam dan ada juga terdapat rakan mualaf yang sentiasa berkongsi ilmu.

"Sebelum menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam, saya berbincang dahulu dengan keluarga. Keluarga meminta berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan kerana tidak mahu saya menyesal di kemudian hari.

"Saya memang sudah lama tertarik dengan Islam jadi saya tidak mengambil masa lama selepas menyatakan hasrat itu kepada keluarga sebelum melafazkan kalimah syahadah pada 2020," katanya ketika ditemui selepas majlis makan besar di rumahnya di Kuala Ibai, di sini, hari ini.

Lee yang kini mendalami ilmu agama dengan Imam Masjid Buluh Gading, di sini, berkata dia tidak menafikan perasaan kecewa dan sedih keluarganya terutama ibu, Toh Siew Hian, 60 dan bapa, Lee Kok Khan, 64.

Katanya, setiap hari dia menjelaskan kepada ibu dan bapanya mengenai Islam dan memujuk mereka tanpa jemu.

"Alhamdulillah, mereka faham dan boleh menerima dengan hati yang terbuka. Keluarga saya terutama ibu dan bapa juga banyak bergaul dan memiliki kenalan di kalangan orang Melayu," katanya.

Dia yang bekerja sebagai jurujual dengan sebuah syarikat pengedar makanan kucing berkata, selepas memeluk Islam pada Jun 2020, sebulan kemudian dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan dan gembira apabila perkahwinan mereka direstui keluarga.

Jelasnya, isteri, Nur Akmal Rosli, 26, dan keluarga mentua banyak memberi tunjuk ajar mengenai Islam.

Menurut Lee dia mengambil keputusan mengekalkan nama asal kerana mahu mengubah fikiran orang bukan Islam yang beranggapan mereka yang memeluk Islam wajib menukar nama.

"Sebab ramai dalam kalangan masyarakat Cina salah faham mengenainya, sebenarnya ia tidak perlu.

"Namun, sekiranya nama asal mereka bermaksud yang tidak elok ia wajib ditukar. Seperti nama saya bermaksud bangga, jadi saya rasa tidak perlu tukar kerana ia maksud yang baik," katanya yang memiliki seorang cahayamata lelaki, Muhammad Yusuf Lee berusia satu tahun.

Sementara itu, Nur Akmal berkata, dia tidak menafikan perasaan kekok dan gementar untuk bersama keluarga mentua ketika awal perkahwinan.

"Saya tidak pernah terfikir untuk hidup dalam masyarakat Cina tetapi jodoh pertemuan itu adalah ketentuan Allah.

"Kini saya rasa selesa dan pada masa sama bertuah apabila dapat menjalani kehidupan dalam dua keluarga berbeza agama yang bukan semua orang dapat memilikinya," katanya yang mengakui berdebar ketika kali pertama meraikan majlis makan besar bersama keluarga sempena menyambut Tahun Baharu Cina pada 2021.