NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada perhimpunan akan diadakan 8 Disember, video lama ditular semula: KPN

BANGI, 8 Jamadilawal 1444H, Sabtu – Sebuah video memaparkan seorang lelaki memberikan ucapan berbaur perkauman dan menyatakan satu perhimpunan akan diadakan pada 8 Disember adalah kejadian pada tahun 2018 yang ditularkan semula.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, semakan mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2018 ketika isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sedang diperkatakan.

Beliau berkata, perhimpunan yang dimaksudkan dalam video terbabit adalah himpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Video tersebut telah ditularkan kembali oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan, seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan dianjurkan pada 8 Disember 2022.

“Sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada tarikh 8 Disember 2022 seperti yang cuba digambarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, Acryl Sani mengulangi komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjamin keselamatan awam, termasuk memberi amaran tindakan tegas jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam. 

“PDRM turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebar atau berkongsi lanjut sekiranya telah menerima video berkenaan.

“Kerjasama sebagai pengguna media sosial yang bertanggungjawab amat diperlukan bagi mengelak berita-berita tidak benar daripada disebarkan,” katanya.

Katanya, mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo