NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Russia berusaha dapatkan bekalan misil balistik dari Iran, kata Duta Britain ke PBB


NEW YORK – Russia berusaha untuk mendapatkan bekalan peluru berpandu balistik secara besar-besaran dari Iran dan sebagai balasan, Moscow menawarkan sokongan ketenteraan yang belum pernah ‘terjadi’ kepada Teheran, kata Duta Britain ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Barbara Woodward kelmarin.

Menurut portal berita Insider.com, Moscow cuba mendapatkan lebih banyak senjata termasuk beratus-ratus peluru berpandu balistik dan sebagai balasan, ia menawarkan tahap baharu sokongan ketenteraan dan teknikal kepada Iran.

Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, Woodward berkata, Majlis Keselamatan bimbang Russia berhasrat untuk menyediakan Iran dengan komponen ketenteraan lebih maju, membolehkan Teheran mengukuhkan keupayaan senjatanya.

Beliau tidak menghuraikan lebih lanjut tentang sokongan ketenteraan dan teknikal atau komponen lanjutan yang ditawarkan tetapi seorang pegawai kanan Washington bagaimanapun memberitahu portal berita NBC News bahawa pemindahan peralatan tersebut adalah termasuk sistem pertahanan udara dan helikopter.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, AS dan sekurang-kurangnya sebuah negara Barat telah melihat tanda-tanda bahawa Iran sedang bersiap sedia untuk memindahkan misilnya, kata pegawai berkenaan.

Namun, setakat ini, Washington tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa terdapat peluru berpandu yang telah dihantar ke Moscow dari Iran, kata seorang pegawai kanan pertahanan AS.

Jika dihantar, ia akan menjadi peluru berpandu yang maju dan memiliki ketepatan tinggi serta pertama kali disediakan untuk Russia sejak perang Ukraine bermula pada Februari lalu.

Peluru berpandu balistik itu mempunyai jarak ratusan kilometer dan boleh membantu Moscow menambah stok senjatanya yang semakin berkurangan selepas digunakan dalam perang di Ukraine.

Kenyataan Woodward dibuat beberapa hari selepas Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Avril Haines iaitu pegawai tertinggi perisikan AS berkata, Russia menggunakan bekalan peluru berpandunya lebih cepat daripada kemampuan negara itu untuk mengeluarkan misil baharu.

Justeru, pegawai AS berkata, Moscow kini meminta bantuan dari Teheran.

Selama berbulan-bulan, Russia telah menggunakan dron buatan Iran terutamanya Shahed-136 untuk melakukan serangan maut ke atas bandar-bandar di Ukraine, menyasarkan kawasan awam dan infrastruktur awam. – AFP


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo