NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin kecewa sikap bekas pemimpin Bersatu Sabah tak setia

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan sikap bekas kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut beliau, lebih mengecewakan, kemenangan mereka dalam PRN Sabah pada 2020 adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada dalam Bersatu yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan Bersatu Sabah mengumumkan keluar dari Bersatu dan sebulat suara mengambil keputusan menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komponen parti tempatan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Bersatu Sabah berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan landskap politik negara ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memberitahu, Bersatu Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun Hajiji dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

Beliau menambah, badan pimpinan negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Bersatu di Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya badan itu yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengumumkan pelantikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah.

“Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Sabah dan PN Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Sabah dan PN Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan Majlis Tertinggi (MT) PN,” jelasnya.

Mengenai kedudukan empat ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), beliau berkata, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang antilompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo