NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemimpin PKR diam, tak tegur Anwar, kata MP PH Pasir Gudang

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berpuisi membantah MoU PH dan parti lain yang dianggapnya telah menyebabkan demokrasi di Malaysia berkubur.
Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH) Hassan Abdul Karim mengakui membuat kritikan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tatkala semua pemimpin PKR hanya berdiam diri.

Ini termasuk, puisinya yang mengkritik secara keras langkah Anwar yang menggadai prinsip perjuangan reformasi PKR apabila bersekongkol dengan pihak lain, terutama UMNO dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti; Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang secara berkias mengkritik Anwar, dimuat naik dalam di Facebooknya.

Menurutnya puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar adalah teguran secara berhemah kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, berkata puisi berkenan dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan kerajaan tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

Beliau berkata, berasa lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak ‘lari’ maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

“Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM).

“Saya sokong perjuangan Anwar sejak zamam PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR. Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela ‘dipancung’.

“Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti,” katanya.

“Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar.

“Tidak apalah saya dimarahi segelintir pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara terbabit.

“Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi Whatsapp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

“Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya),” katanya menurut BH.

Hassan berkata, tujuannya adalah mahu ingatkan perdana menteri agar tidak lari daripada perjuangan asal.

“Terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo