NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Anwar dianggotai ‘ahli tak rela’, kata aktivis


PETALING JAYA:
Aktivis veteran hak asasi manusia Peter John Jaban memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Anwar yang dibentuknya goyah dan terdiri daripada “ahli yang tidak rela”.

Naib setiausaha Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) itu berkata, Anwar juga tidak boleh lupa tentang risiko meletakkan “kluster mahkamah” dalam Jemaah Menteri.

“Beliau mungkin fikir beliau menenteramkan rakan kongsinya, tetapi beliau meletakkan mereka dalam kedudukan yang boleh mencabarnya.

“Hanya sokongan berterusan daripada rakyat yang akan mengekalkan kedudukannya,” kata Peter dalam kenyataan.

Tambahnya, jika Anwar terus menjauhkan penyokongnya, beliau tidak akan dapat lama memegang jawatan perdana menteri.

Menurut Peter, rakyat bimbang keputusan Anwar melantik individu yang berdepan perbicaraan dalam Jemaah Menteri mungkin menandakan kembalinya politik naungan dan kronisme.

“Walaupun semua orang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, mereka tidak sepatutnya diberi tanggungjawab sebagai menteri sehingga mereka membersihkan nama mereka”, katanya sambil menambah, ini amalan lazim Parlimen di negara demokrasi lain.

Beliau merujuk kepada pelantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang timbalan perdana menteri. Zahid, yang juga dilantik sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, sedang dibicarakan atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Anwar telah gagal dalam ujian pertama ini, tetapi beliau boleh maju ke hadapan dengan pembaharuan kehakiman untuk menunjukkan bahawa rasuah tiada tempat dalam masyarakat kita.

“Untuk mengekalkan keyakinan terhadap janjinya mengenai reformasi, langkah beliau seterusnya penting,” kata Peter.

Keputusan PRU15 pada 19 Nov membawa kepada keadaan Parlimen tergantung.

Beberapa hari kemudian, Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Anwar sebagai perdana menteri susulan perbincangan dengan raja-raja Melayu.

Presiden PKR itu kini memimpin kerajaan perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anwar turut mendapat sokongan Ahli Parlimen Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), serta dua wakil rakyat bebas, yang menurutnya memberi kerajaannya majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kerajaan perpaduan baharu itu dianggotai 15 Ahli Parlimen PH menerusi PKR, DAP, Amanah dan Upko; enam daripada BN menerusi Umno; lima daripada GPS menerusi PBB, PRS dan PDP; serta seorang daripada GRS menerusi Bersatu Sabah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bukan ahli mana-mana parti.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo