NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Empat kerusi Parlimen Sabah perlu dikosongkan, kata peguam PN

Dari kiri; Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Dari kiri; Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

KUALA LUMPUR: Seorang peguam Perikatan Nasional (PN) berpandangan kerusi Parlimen dimenangi empat wakil rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dikosongkan selepas mereka mengumumkan keluar daripada BERSATU semalam.

Ia susulan polemik mengenai status empat Ahli Parlimen itu yang bertanding dalam PRU15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menjadi ahli BERSATU.

Empat Ahli Parlimen BERSATU Sabah yang bertanding atas tiket GRS adalah Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Ketua Pasukan Undang-Undang Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), Wan Rohimi Wan Daud, berpandangan tindakan keempat-empat Ahli Parlimen itu memenuhi syarat yang diperuntukkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan peruntukan itu, katanya, empat wakil rakyat berkenaan perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana pembabitan mereka dalam GRS turut tergugur apabila mengumumkan keluar daripada BERSATU.

"Apabila empat Ahli Parlimen ini mengisytiharkan keluar BERSATU, mereka bukan lagi ahli kepada mana-mana komponen parti dalam GRS.

"Pada peringkat itu, mereka secara automatik bukan lagi ahli kepada gabungan GRS kerana telah memutuskan talian keahlian melalui parti komponen BERSATU.

"Mereka tidak boleh mengatakan keluar BERSATU tetapi kekal dalam GRS kerana keahlian mereka (dalam GRS) bersifat 'by extension' atau atas keanggotaan mereka sebagai ahli BERSATU.

"Berhenti daripada menjadi ahli BERSATU, maka secara jelasnya mereka turut berhenti daripada menjadi ahli gabungan GRS.

"Justeru operasi undang-undang berkaitan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(i) adalah terpakai ke atas empat Ahli Parlimen ini.

Maka, keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat turut gugur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peguam kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu mengulas pengumuman keluar parti oleh pemimpin BERSATU Sabah semalam, termasuk semua empat Ahli Parlimen dan 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Nor yang mengumumkan perkara itu memaklumkan, kumpulan itu akan menubuhkan parti tempatan baharu, namun buat masa ini mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

Terdahulu, BH yang memetik Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpandangan status empat Ahli Parlimen dan 15 ADUN itu tidak gugur dan tidak perlu mengosongkan kerusi yang disandang.

Beliau berpandangan tindakan mereka tidak tertakluk dalam Perkara 49A yang mula berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu, kerana empat Ahli Parlimen itu bertanding dalam PRU15 atas tiket GRS yang sudah didaftarkan, bukannya BERSATU.

Katanya, kedudukan 15 ADUN juga tidak terkesan memandangkan enakmen khusus berkenaan larangan bertukar parti belum diwarta untuk dikuatkuasakan di Sabah.

Mengulas lanjut, Wan Rohimi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat berkata, keanggotaan empat wakil rakyat Sabah itu bukan secara langsung dengan GRS, sebaliknya menerusi BERSATU.

"Ertinya, status mereka sebagai Ahli Parlimen GRS adalah bersyarat selagi mana mereka mengekalkan keahlian dalam BERSATU," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo