NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Johor lulus belanjawan 2023 sebanyak RM1.731


ISKANDAR PUTERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan Belanjawan Johor 2023 berjumlah RM1.731 bilion.

Speaker DUN, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, belanjawan itu diluluskan secara sebulat suara pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat di Kota Iskandar di sini.

Belanjawan Johor 2023 bertemakan ‘Maju Johor, Makmur Bersama Rakyat’ dibentangkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Disember lalu.

Selepas dua tahun berturut-turut Johor merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022, Belanjawan 2023 ini adalah belanjawan lebihan sebanyak RM2.44 juta.

Ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 awal bulan ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata, Johor diunjurkan mengutip hasil kira-kira sebanyak RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Beliau berkata, Belanjawan Johor 2023 membabitkan sejumlah RM69.51 juta perbelanjaan tanggungan manakala bakinya, RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan.

“Pada tahun depan, hasil Johor dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion dengan perbelanjaan pula adalah sebanyak RM1.731 bilion. Oleh itu, terdapat lebihan sebanyak RM2.44 juta.

“Sejumlah RM1.126 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus membabitkan emolumen sebanyak RM 559.54 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM316.73 juta), aset (RM 27.86 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM 209.37 juta) dan perbelanjaan lain (RM 13.24 juta),” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Enam teras dalam urus tadbir belanjawan 2023 ialah Urus Tadbir Kerajaan; Pembangunan Ekonomi; Jaringan Sosial; Kemudahan dan Keperluan Asas; Keselamatan, Kebersihan dan Alam Sekitar serta keenam ialah Orang Muda Johor.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dilaporkan berkata, ekonomi Johor kini kembali rancak dalam era pasca pemulihan Covid-19.

“Pada hemat saya, kerancakan kemajuan ekonomi Johor ini disumbangkan oleh empat faktor utama, pertamanya adalah kedudukan politik Johor yang stabil.

“Keduanya, polisi mesra pelabur yang digagaskan bagi memastikan Johor kekal menjadi destinasi utama pilihan pelabur selain pembukaan semula sempadan antara Johor – Singapura mulai 1 April lalu.

“Penambahbaikan sistem penyampaian awam dan pembangunan modal insan turut menjadi faktor ekonomi Johor semakin rancak,” katanya. – KOSMO! ONLINE


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo