NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tukar kerusi, strategi atau korban politik?


PERTAMA kali dalam sejarah politik negara, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan penyertaan calon-calon bagi kerusi Parlimen paling ramai iaitu 945 orang.

Dari segi persediaan calon, agak menarik kerana koalisi-koalisi parti utama seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menyahut cabaran pelaksanaan Undi18 apabila masing-masing menampilkan lebih 60 hingga 70 peratus muka baharu bagi memikat hati 21 juta pengundi.

Lebih radikal, BN, PN dan PH nekad bukan sahaja memindahkan sebilangan besar calon heavyweight ke kerusi-kerusi Parlimen lain yang lebih mencabar.

Bahkan tiga koalisi itu turut mengambil keputusan besar menggugurkan beberapa nama ‘otai’ termasuk bekas menteri kabinet bagi membeli laluan kepada calon-calon lebih muda, berkredibiliti atau dari satu sudut tersirat, cenderung menyokong pucuk pimpinan parti.

Bagi kelompok pemimpin besar parti yang terpaksa berpindah dari kerusi Parlimen selamat ke kerusi mencabar, kelompok ini juga sebenarnya tidak jauh beza nasibnya dengan mereka yang digugurkan parti.

Kecuali Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya memilih strategi berpindah kerusi pilihan raya dari Parlimen Port Dickson ke Tambun untuk meningkatkan peluang koalisi itu merampas Perak pada PRU15.

Namun, majoriti pemimpin nama besar yang ‘dipaksa’ bertukar kerusi oleh pucuk kepimpinan parti untuk bertanding di kerusi Parlimen asing bagi mereka, mungkin berdepan risiko penamatan karier politik.

Pucuk pimpinan dan pengarah pilihan raya parti masing-masing sudah pasti menyifatkan alasan peletakan kelompok pemimpin ‘otai’ di kerusi-kerusi sukar sebagai strategi memenangi lebih banyak kerusi pilihan raya.

Mereka boleh menyatakan calon-calon mereka ini mampu menjadi giantkiller. Atau di kerusi mempunyai komposisi pengundi lebih ramai tidak menyokong parti berkenaan, pucuk pimpinan parti boleh menjaja alasan ‘otai-otai’ ini mempunyai X-factor untuk memikat segmen pengundi baharu.

Sebagai contoh, nama besar seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipindahkan dari Rembau ke Parlimen Sungai Buloh atas alasan Menteri Kesihatan itu mampu meraih sokongan segmen pengundi bukan Melayu.

Hakikatnya, kerusi Parlimen Sungai Buloh boleh dianggap kawasan hitam BN kerana bersifat separa bandar selain calon MIC yang bertanding di kerusi itu pada PRU14 tewas kepada R Sivarasa (PKR) dengan majoriti lebih 22,000 undi.

Bagi pemerhati politik tempatan, peletakan Khairy di kerusi Sungai Buloh tidak lebih sekadar taktik untuk ‘menggugurkan’ beliau secara terhormat daripada dunia politik tanah air berbanding melihatnya sebagai strategi parti menawan hati pengundi bandar.

Selain Khairy, nasib Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga menjadi tanda tanya dalam kalangan penganalisis politik apabila pemimpin muda itu terpaksa berpindah kerusi dari Parlimen Kuala Langat ke Alor Gajah.

Sebagaimana Khairy, Shahril Sufian turut dianggap sebagai bintang masa hadapan UMNO dengan imej pemimpin itu dilihat begitu sinonim dengan aspirasi anak muda serta disenangi.

Namun, pencalonannya di kerusi Alor Gajah yang turut ditandingi bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari seolah-olah cuba menutup ruang Shahril Sufian untuk terlibat secara rasmi dalam dunia politik sebagai ahli Parlimen. Peluangnya untuk menang di kerusi Alor Gajah agak tipis.

Bagi pemimpin PH pula, ramai melihat pencalonan bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di kerusi Parlimen Bagan Datuk untuk mencabar Ahmad Zahid yang memenangi kawasan itu selama lima penggal berturut-turut, sebagai strategi ‘korban politik’.

“Shamsul Iskandar mungkin pernah menjadi giant killer pada PRU13 apabila menumbangkan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tun Ali Rustam di kerusi Parlimen Bukit Katil (kini Hang Tuah Jaya) dengan majoriti besar.

"Namun, berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di mana beliau sendiri tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput kepada calon bukan heavyweight daripada UMNO, saya percaya beliau sukar untuk menang. PRU15 mungkin menjadi penamat karier politik Shamsul,” ujar Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Tidak kira sama ada ‘otai-otai' politik ini dipertaruhkan di kerusi baharu atas alasan strategi atau korban parti, mereka sebenarnya perlu menggunakan kesempatan ini untuk membuktikan diri tidak sekadar jaguh kampung.

Khairil Anwar Mohd Amin
Wartawan Premium Sinar Harian



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo