NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shahidan sah tanding guna tiket PN


ARAU
– Datuk Seri Shahidan Kassim akhirnya menamatkan teka-teki apabila mengesahkan pencalonannya menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi Parlimen Arau menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman rasmi mengenai pencalonan pada PRU15 menggunakan tiket PN dijadualkan akan berlangsung dalam majlis memperkenal calon PN Perlis di Kompleks Pas Kangar malam ini.

Pencalonan Shahidan itu mendapat restu daripada PN pusat sekaligus menjadi sandaran gabungan berkenaan untuk mendapatkan kemenangan di Parlimen Arau dan kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Shahidan berkata, beliau bertekad untuk melawan habis-habisan calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman di Parlimen Arau.

“Bukan sahaja penyokong Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sokong saya, saya nak UMNO juga sokong saya. Ini kerana semua gerak kerja di Arau, saya yang atur selama ini daripada A sampai Z.

“Tiba-tiba tolak macam itu sahaja, ambil pula bukan jawatankuasa bahagian, orang luar. Di Arau ini akan menjadi model Muafakat Nasional. Insya-ALLAH selain Parlimen Arau, empat kerusi DUN dalam tangan dan satu lagi DUN tunggu,” katanya pada Khamis.

BN pada Selasa, menggugurkan nama Shahidan untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau dan mengumumkan Rozabil sebagai pengganti calon di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, penyokong Pas sedia memberi sokongan kepada Shahidan kerana pencalonan beliau bukan dibuat oleh Pusat sahaja tetapi dipersetujui di peringkat negeri juga.

“Watikah calon itu akan diserahkan oleh peringkat Pusat dan nama Shahidan sebagai calon PN Arau akan diumumkan malam ini dalam satu majlis memperkenal calon PN Perlis.

“Penyertaan Shahidan itu secara tidak langsung memberi kelebihan tambahan kepada PN bukan sahaja di Arau tetapi Perlis secara keseluruhan,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo