NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengundi bukan ‘pak turut,’ ahli politik bukan ‘tuan’


GELOMBANG besar Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menghempas struktur poltik Malaysia.

Buat pertama kalinya, rejim yang memegang kuasa lebih enam dekad diruntuhkan sekali gus menandakan “era perombakan sejarah politik” Malaysia.

Antara aktor penting yang mengubah haluan politik Malaysia ialah pengundi. Tingkah laku pengundi sejak 2018 telah mencapai tahap sanggup untuk menukar ahli politik dan mengubah parti politik yang sekian lama menjadi pilihan utama mereka. 

Perkembangan ini dijangka berterusan dalam PRU15 yang akan berlangsung pada 19 November ini. 

Daftar pemilih yang layak mengundi meningkat daripada 14.9 juta pada PRU14 kepada lebih 21.1 juta.

Peningkatan segmen pengundi muda (18-20 tahun) bakal memperlihatkan kecenderungan sokongan dan tentangan mereka terhadap sesebuah parti dan seterusnya dapat kita mengukur maju-mundurnya budaya demokrasi Malaysia. 

Tidak seperti dulu, pengundi kini lebih terbuka dan terdedah luas kepada pelbagai ejen perubahan sosial seperti penggunaan meluas media sosial, proses urbanisasi yang pesat, pertambahan golongan berpendidikan dan peningkatan saiz kelas menengah. 

Lebih-lebih lagi, golongan muda dan generasi baru yang sebahagiannya bersikap non-partisan, anti-establishment dan rebellion (melawan). 

Sudah tentu, pengundi bukan lagi menjadi “pak turut” yang hanya bertindak memangkah setiap 4 atau 5 tahun sekali di pusat-pusat pembuangan undi. 

Malangnya, peranan pengundi dipandang terlalu sempit kerana semata-mata untuk memenuhi keperluan menentukan parti manakah yang bakal memerintah. 

Sebaliknya, pengundi berperanan menjadi penilai, juri dan pengkritik berkaitan prestasi dan perkhidmatan yang diberikan wakil rakyat sepanjang tempoh sepenggal.  

Ahli politik bukan lagi faktor pemberat yang boleh menentukan cara pengundi berfikir dan membuat pilihan. Pengundi kini bebas menentukan pilihan, tidak semestinya terikat dengan identifikasi (pengenalan) parti. 

Tidak menghairankan ada pengundi akan bertukar-tukar pilihan parti dan wakil rakyat mereka setiap kali menjelang piihan raya. 

Ucapan dan seruan ahli politik bukan lagi perkara yang menjadi pertimbangan dan perhatian pengundi. 

Elit politik tidak lagi dianggap kelompok istimewa dan golongan high class dalam kalangan pengundi. 

Malah pengundi yang celik dan mempunyai kelincahan berfikir akan mengatakan “politik adalah hak milik semua” tanpa mengira kedudukan dan status. 

Sebenarnya seluruh kegiatan poitik itu bersifat sukarela dan pilihan termasuklah kerja-kerja aktivis yang bersangkutan dengan peranan seseorang pengundi itu sendiri. 

Penglibatan secara intensif rakyat (baca: pengundi) dalam proses politik melalui ruang media sosial merapatkan “jurang kelas” antara pengundi dan ahli politik untuk saling berkomunikasi. 

Menerusinya dapat dibangunkan proses semak dan imbang yang lebih kompetitif dan responsif dengan isu semasa. 

Pengundi dapat berperanan mengawasi, melontarkan pandangan dan membuat aduan secara langsung (di pelbagai aplikasi ruang maya seperti live, comment, share message, video call). 

Hal ini juga seolah-olah terdapat semacam hubungan “intim” antara rakyat-kerajaan. 

Oleh itu, hubungan bersifat pelbagai hala berpotensi menghakis “psikologi feudal” yang ahli politik merupakan “boss” yang berkuasa menentukan segala keputusan, manakala pengundi hanya perlu terima, patuh dan akur.

Penyuaraan rakyat melalui saluran birokrasi formal seperti mengadakan temujanji, perjumpaan secara fizikal dan menulis surat kepada waki rakyat selama ini dikatakan kurang diendahkan. 

Oleh demikian, mekanisme pengundi kini beralih daripada ruang fizikal kepada ruang maya kerana kegiatan politik akan dapat ditonton secara meluas oleh khalayak umum. 

Ahli politik yang gagal menangani isu dengan hikmah akan digasak dan diserang bertubi-tubi! Tidak ada golongan yang terkecuali daripada disentuh dan dibantai sekarang.  

Sebenarnya peranan wakil rakyat yang dipilih ialah sebagai pekerja demokrasi yang mengendalikan sistem pentadbiran negara bermula di peringkat bawah sehinggalah ke peringkat tertinggi seterusnya mengambil bentuk-bentuk solusi untuk menangani permasalahan rakyat.

Akhirnya, bila mana kita memikirkan persoalan negara demokrasi, kita sering membayangkan ungkapan popular bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln iaitu “dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat”. 

Bayangkan apa yang boleh dilakukan oleh pengundi jika jutaan pengundi nanti dapat digembleng kepada suatu gerakan perubahan.

Tidakkah kesedaran untuk turun bersesak membuang undi nanti boleh menggegarkan sekali lagi Malaysia? 

Bagaimanapun dalam situasi tersebut ketentuan blok atau parti yang bakal menang atau pihak yang mungkin kalah adalah terletak pada keupayaan pengundi-pengundi membuat keputusan dan pertimbangan. 

Seperti yang diungkapkan oleh bekas Penolong Setiausaha Hal Ehwal Awam Amerika Syaraikat, Monica Crowley “voting is a much an emotional act as it is an intellectual one”.

Dengan demikian, peranan pengundi amat mustahak dalam PRU15 ini tidak kira sama ada pengundi itu tergolong dalam kelompok miskin atau kaya, rendah kelulusan ataupun tinggi pencapaian akademiknya. 

Hakikatnya nilai kertas undi bagi seorang kelas buruh di sektor kilang adalah sama sahaja dengan seorang yang bertaraf profesor di universiti! – 16 November, 2022.

Mohd Azizi Jaeh
Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo