NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Othman Aziz letak jawatan nombor 2 UMNO Kedah


ALOR SETAR:
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Othman Aziz hari ini mengumumkan melepaskan jawatan beliau bagi menggalas tanggungjawab atas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Beliau yang turut kecundang di kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata kekalahan BN kali ini menunjukkan satu penolakan mutlak orang-orang Melayu terhadap UMNO ketika ini.

"Kita perlu baik pulih dari segi kepemimpinan UMNO itu sendiri dan saya di sini juga menggesa Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO berfikir secara terbuka dengan berjiwa besar untuk melepaskan jawatan beliau.

"Kerana saya kira orang-orang Melayu sendiri telah pun memberi satu petanda yang cukup jelas bahawa mereka bukan suka Perikatan Nasional (PN) itu sangat dan juga dalam masa yang sama mereka tidak membenci UMNO tapi kemungkinan mereka tidak suka gaya dan cara pemimpin UMNO membawa dan mengemudi parti," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam keputusan PRU15 semalam, PN menyapu bersih 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah manakala Pakatan Harapan (PH) hanya menang satu kerusi.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan pada 7 Disember depan berikutan kematian calon PH , M Karupaiya, 69, pada Rabu lalu.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata UMNO kini perlu memberi ruang dan peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti agar tidak menyukarkan lagi keadaan UMNO selepas ini.

Katanya, biar pun nasi sudah menjadi bubur, UMNO perlu mengorak langkah untuk memastikan parti itu terus relevan di masa depan.

"Maka sudah tentulah saya rasakan lebih baiklah kita mengundurkan diri untuk memberi ruang kepada muka baru dengan pemikiran baru sesuai dengan suasana dan cita rasa pengundi itu sendiri kerana di Kedah dan beberapa negeri lagi akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini.

"Kelompongan jawatan yang ditinggalkan kepimpinan UMNO selepas ini diisi dengan tokoh-tokoh lain yang mampu mengemudi parti di peringkat negeri dan pusat dengan strategi yang lebih kemas.

"Jadi secara moralnya juga, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut perlu berjiwa besar menarik diri daripada jawatan beliau," katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo