NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN tak runding dengan PN, GPS tubuh kerajaan, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada rundingan diadakan untuk menjalin pakatan dengan parti lain.


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menafikan ia berunding dengan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan persekutuan, kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya juga ingin memaklumkan tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Umno itu berkata, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi pilihan raya umum ke-15 sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya untuk menentukan sebarang kerjasama bagi menubuhkan kerajaan.

“Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti, termasuk kerusi Parlimen, selaras undang-undang laangan ahli Dewan Rakyat bertukar seperti seperti termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.”

Zahid berkata demikian selepas Pengerusi GPS, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, gabungan itu setuju bergabung dengan PN, BN dan Gabungan Rakyat Sabah untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Katanya, keputusan itu bagi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau dipetik Bernama sebagai berkata, GPS turut memilih Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-10.

Tiada gabungan yang memiliki majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-15, dengan Pakatan Harapan bersama Muda memenangi 82 kerusi Parlimen, disusuli PN (73), BN (30), GPS (22), GRS (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1) dan dua calon bebas.

Terdahulu, Istana Negara meminta pemimpin parti membentuk gabungan dengan parti lain yang mempunyai kerusi paling banyak untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, ketua parti atau gabungan yang memiliki kerusi mencukupi diminta mencadangkan calon perdana menteri kepada Istana Negara sebelum 2 petang esok.



Sumber | FMT Malaysia 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo