NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa Anwar bukan Muhyiddin, Akhirnya Anwar berjaya menjadi "PM Tebuk Atap" (PH mesti suka perkataan ini)


Selepas tiga jam pengumuman Istana Negara kira-kira jam 2 petang Khamis lalu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan meminta beliau membuktikan keabsahan mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Ini kerana Muhyiddin tidak yakin Anwar sudah melepasi majoriti mudah 112 kerusi kerana beliau sebelum itu sudah menghantar dokumen Akuan Bersumpah (SD) 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya ke Istana Negara seperti diminta.

Pada Ahad sebelum itu, Pengerusi Gabungan parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan GPS akan membentuk Kerajaan Persekutuan bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, apa yang berlaku selepas pengumuman Abang Johari itu, keadaan sudah berubah berikutan beberapa perkembangan, termasuk langkah diambil Pakatan Harapan (PH) dalam usaha Anwar mendapat sokongan bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

BN pula sebenarnya belum membuat keputusan sama ada untuk bergabung dengan mana-mana parti dan parti gabungan atau kekal sebagai pembangkang selepas hanya mendapat 30 kerusi.

Difahamkan apa yang sebenarnya berlaku ialah Muhyiddin gagal membuktikan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan melantiknya.

"Yang di-Pertuan Agong perlu diyakini bagi membolehkan baginda membuat keputusan bahawa pada hemat baginda seseorang sudah mendapat majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Sehingga yakin telah ada seseorang mendapat majoriti, baru baginda akan membuat keputusan. Namun, walaupun Muhyiddin sudah menghantar 115 SD kepada istana, ia bukan suatu pengesahan semua penama menyokongnya," kata satu sumber.

Tambahan pula dalam tempoh kekalutan mengenai siapa yang mempunyai majoriti, BN mengesahkan parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan, sebaliknya mahu menjadi pembangkang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan pihaknya tidak pernah berunding dengan GPS dan semua Ahli Parlimen sudah menandatangani aku janji serta memberi mandat kepada beliau menentukan gabungan jika mahu menyertai pihak yang mahu menubuhkan kerajaan.

Pada masa sama, Anwar juga menegaskan PH sudah mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan, namun tidak menyatakan butiran parti atau jumlah Ahli Parlimen menyokongnya.

Berlaku pertindihan nama

Sumber itu juga berkata, mungkin berlaku pertindihan nama yang sama menyokong Muhyiddin dan Anwar menyebabkan pihak istana menangguhkan untuk membuat keputusan siapa yang layak dilantik Perdana Menteri.

Namun, katanya, secara konvensyen, Anwar yang mewakili parti mempunyai kerusi paling banyak boleh dibenarkan membentuk kerajaan minoriti, tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak berbuat demikian dan mahu memastikan hanya yang melepasi majoriti mudah membentuk kerajaan.

Keputusan BN untuk hanya menyertai kerajaan bukan daripada PN juga suatu petunjuk bahawa Muhyiddin tidak mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen seperti didakwanya.

Pengumuman itu juga petunjuk BN mengubah fikiran daripada menjadi pembangkang dan mahu menyertai Anwar dan PH menubuhkan kerajaan dan bukan PN.

Sumber itu juga berkata, GPS mungkin melakukan kesilapan apabila membuat pengumuman penubuhan kerajaan bersama BN dan PN kerana mempercayai Muhyiddin mendapat sokongan daripada sekumpulan Ahli Parlimen BN untuk membentuk kerajaan.

Mereka mungkin tidak menyangka Ahmad Zahid berjaya meyakinkan BN dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengubah ketetapan awal untuk menjadi pembangkang dan tidak akan bersama PH atas dasar No DAP No Anwar.

Namun, episod ini berakhir selepas dua majlis menghadap di Istana Negara. Pertama, apabila Muhyiddin dan Anwar dititah mengadap dan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan mereka membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik, rakyat dan negara.

Muhyiddin secara tegas menolak dengan terus mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti, berbeza dengan Anwar yang cenderung menjalin kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan seperti disaran baginda.

Majlis menghadap kedua membabitkan Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mewakili BN dan empat wakil GPS. Majlis itu membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan persetujuan Anwar dipilih Perdana Menteri

Seperkara lagi yang memungkinkan kekalutan ini berakhir ialah Yang di-Pertuan Agong menangani dan menyelesaikan kemelut berkenaan. Langkah baginda mengadakan perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu pula adalah muktamad kepada kemelut empat hari ke arah pembentukan kerajaan stabil demi rakyat dan negara.

Bagi Anwar, beliau memikul tanggungjawab membawa kemakmuran negara dan perpaduan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang, manakala Muhyiddin dan PN pula perlu menjadi pembangkang berkesan, juga demi negara dan rakyat.







........
Komen: Nak buat macam mana... tiang gol di alih saat akhir.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo