NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersih cadang kongsi kuasa, bukan kerajaan perpaduan


PETALING JAYA:
Bersih mencadangkan perkongsian kuasa, berbanding kerajaan perpaduan, untuk menyelesaikan kebuntuan semasa berhubung pembentukan kerajaan baharu.

Kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, walaupun kerajaan perpaduan, atau kerajaan gabungan besar lebih inklusif kerana merangkumi semua parti utama, namun ia mempunyai tiga kelemahan.

Pertama, pentadbiran akan terdiri daripada terlalu ramai anggota, dan kedua, mungkin tidak cukup semak dan imbang di Parlimen apabila hampir semua orang menjadi “backbencher” kerajaan dan tiada seorang atau sangat sedikit Ahli Parlimen menjadi pembangkang, katanya.

Akhirnya, memandangkan perpecahan yang mendalam wujud, gabungan besar itu mungkin tidak mempunyai kesepaduan untuk mencapai matlamat yang jelas.

“Berbanding bekerjasama, ia berisiko mempunyai parti kerajaan dan menteri bercanggah atau mengkritik antara satu sama lain, seperti yang kita lihat dalam 32 bulan selepas Langkah Sheraton,” kata Bersih dalam kenyataan, merujuk kepada pembelotan yang mencetuskan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Kumpulan itu seterusnya mencadangkan sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) – dua gabungan yang memperoleh undi terbanyak – memimpin kerajaan, dengan satu lagi mengetuai Jemaah Menteri bayangan.

Sementara itu, blok-blok dan parti-parti yang lebih kecil akan mempunyai tiga pilihan – mereka boleh menjadi rakan kongsi junior dalam kerajaan campuran; menjadi pembangkang yang menyokong kerajaan berdasarkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA); atau sepenuhnya menjadi pembangkang.

“Tidak kira sama ada kerajaan gabungan majoriti atau kerajaan minoriti yang disokong CSA, kerajaan sedemikian memenuhi keperluan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya merujuk kepada ketetapan bahawa perdana menteri mendapat kepercayaan majoriti.

Kebuntuan yang berterusan dalam membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah disebabkan ketidakupayaan tiga gabungan utama itu mendapatkan jumlah kerusi yang mencukupi untuk memperoleh majoriti mudah di Dewan Rakyat.

PH memenangi 82 kerusi, PN 73 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6) dan Warisan (3). Dua orang calon bebas turut mendapat kerusi.

Kedua-dua pengerusi PH dan PN mendakwa mereka mempunyai sokongan yang mencukupi untuk majoriti, dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebelum ini menolak sebarang pakatan dengan PH.







Komen: .Idea mengarut




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo